Mission News

Ketua Menteri Victoria Sambut Baik Pembukaan Tune Hotels Di Melbourne - Bernama

12 November 2013 1 views

Ketua Menteri Victoria Sambut Baik Pembukaan Tune Hotels Di Melbourne

 Oleh Neville D'Cruz

 

MELBOURNE, 8 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Victoria Dr Denis Napthine menyambut baik Pembukaan Tune Hotels di sini, dengan menyatakan ia akan membantu merancakkan aktiviti pelancongan, ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan.

"Keputusan Tune Hotel Group untuk membuka hotel pertamanya di Australia dan menempatkan ibu pejabat operasinya di Melbourne akan mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung," kata Dr Napthine semasa merasmikan pembukaan hotel itu Jumaat.

Beliau berkata Tune Hotels membawakan model baharu penginapan ke Australia dan beliau berbangga Melbourne, yang diiktiraf sebagai bandar paling sesuai didiami di dunia, menjadi peneraju dalam konsep pelancongan baharu ini.

Ketua Menteri itu berkata AirAsia X, syarikat sekutu Tune Hotels Group, juga merupakan rakan kongsi penting bagi Victoria dan penerbangan harian dua kali sehari telah meningkatkan pelancongan dan perjalanan antara Australia dan Malaysia serta rantau ini.

"Terdapat kira-kira 40,000 rakyat Malaysia tinggal di Victoria, hampir 8,000 pelajar belajar di universiti bertaraf dunia di negeri ini dan lebih 90,000 rakyat Malaysia melawat Victoria setiap tahun," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Hotels, Mark Lankester berkata kumpulan tersebut sangat gembira akhirnya dapat membuka hotel pertama mereka di Australia.

"Ia akan memberikan pilihan alternatif penginapan yang benar-benar menarik kepada pengunjung perniagaan dan liburan ke bandar hebat ini.

"Kami menerima tempahan menggalakkan sejak mengumumkan penerokaan kami ke pasaran di sini pada Jun," katanya.

Lankester berkata kumpulan itu menerima "sokongan padu" daripada Kerajaan Victoria, Tourism Victoria, Tourism Australia dan Melbourne City Council.

Beliau berkata Tune Hotels mempunyai rancangan jangka panjang bagi Australia dan New Zealand dan pengunjung boleh menjangka melihat lebih banyak pembukaan hotel di rantau ini pada tahun-tahun akan datang.

Konsul Besar Malaysia di sini Datuk Dr Mohd Rameez Yahaya berkata ia suatu yang menggembirakan melihat syarikat Malaysia meneroka pasaran Australia.

Tune Hotels yang terletak di Swanston Street di sini setinggi sembilan tingkat dengan 225 bilik, sebuah restoran dan pangsapuri kediaman dan berdekatan dengan pelbagai restoran, universiti, Pasar Queen Victoria, hospital, kedai runcit dan pengangkutan.

Selain hotel di Melbourne, yang merupakan hartanah yang ke-34 kumpulan, Tune mempunyai 11 hotel di Malaysia, lapan di Filipina, enam di Indonesia, lima di Britain, empat di Thailand dan satu di India dan Jepun.

-- BERNAMA
 

 

 

Share:
Link copied to clipboard
Back