Mission News

Konsulat Baharu, Lambang Hubungan Rapat Malaysia-Australia, Kata Anifah

09 November 2012 1 views

MELBOURNE, 8 Nov (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman merasmikan pembukaan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di sini semalam dengan dihadiri ramai tetamu kehormat Malaysia dan Australia.

Sambil menyifatkannya sebagai satu peristiwa bersejarah, Anifah yang diiringi isteri Datin Seri Siti Rubiah Abdul Samad, berkata ia merupakan 'lambang hubungan rapat yang sedia terjalin di antara Malaysia dengan Australia'.

Beliau berkata pejabat konsulat itu akan memain peranan penting dalam meningkatkan lagi hubungan dua hala dalam bidang-bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pelajaran, kebudayaan dan pelancongan selain hubungan di antara rakyat dengan rakyat.

Menurut menteri itu, Melbourne sentiasa menjadi pilihan rakyat Malaysia bagi melanjutkan pengajian tinggi mereka.

Anifah berkata terdapat 40,000 rakyat Malaysia termasuk pelajar yang tinggal di Greater Melbourne.

"Ini bukan sahaja kerana taraf pendidikan yang tinggi ditawarkan di sini tetapi juga disebabkan persekitaran kehidupan yang mesra dan sihat," katanya.

Anifah berkata dengan termeterainya Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia baru-baru ini, ia memberi galakan selanjutnya kepada sektor swasta di kedua-dua buah negara untuk memperluaskan lagi hubungan.

Beliau mengalu-alukan kehadiran SP Setia, CIMB, MRCB dan syarikat-syarikat lain dari Malaysia untuk memulakan operasi mereka di sini.

Anifah dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Datuk Salman Ahmad memuji Konsul Jeneral, Dr Mohd Rameesh Yahaya kerana semangat dedikasi dan caranya yang cekap menubuhkan pejabat konsulat itu.

Semasa mengalu-alukan kehadiran para tetamu, termasuk Gabenor Victoria, Alex Chernow, Datuk Bandar Melbourne Robert Doyle, Menteri bagi Pekerjaan dan Hubungan Perusahaan, Richard Dalla-Riva dan petugas konsular, Salman berkata beliau 'sangat teruja' dengan penubuhan pejabat konsulat itu yang terletak 'di sepanjang St Kilda Rd yang indah'.

"Yang pastinya pejabat ini akan mengurangkan sebahagian besar tugas yang kami kendalikan di Canberra, terutama sekali apabila ramai pelanggan mengetahui tentang adanya pejabat ini di sini," kata Salman.

-- BERNAMA

Share:
Link copied to clipboard
Back