Lebih 23,000 kunjungi Fiesta Malaysia di Melbourne
May 26, 2014
MELBOURNE - Lebih 23,000 orang membanjiri Fiesta Malaysia 2014 semalam, yang mempromosi kepelbagaian budaya dan cita rasa masakan Malaysia istimewa kepada pengunjung.
Pesta anjuran Majlis Perwakilan Pelajar-pelajar Malaysia di Australia-Victoria (MASCA Victoria) dan disokong oleh Konsulat Jeneral Malaysia di sini berlangsung di Federation Square Melbourne dengan pengunjung daripada semua peringkat umur tidak putus-putus membanjirinya sepanjang hari.
"Ini suatu yang hebat dan pujian harus diberi kepada pelajar kita yang menghabiskan masa berbulan-bulan merancang pesta ini," kata Konsulat Jeneral Malaysia Datuk Dr Mohd Rameez Yaaya kepada Bernama.
"Tahun lepas, kira-kira 18,000 orang datang ke fiesta ini dan angka tahun ini amat menakjubkan dan menggalakkan bagi pelajar dan Malaysia," kata beliau.
Pengerusi Suruhanjaya Kepelbagaian Budaya Victoria (VMC), Chin Tan, berkata Fiesta Malaysia ialah satu daripada acara sosial di Victoria yang terbaik dianjurkan dan paling menarik ramai pengunjung.
Ini memberi profil yang baik kepada Malaysia," kata beliau dan menambah bahawa Mohd Rameez memainkan peranan penting mempromosi Malaysia sejak tiba di sini lebih dua tahun lepas.
Presiden MASCA Raymond Loh menghargai kerja keras yang dijalankan oleh jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada kira-kira 20 anggota dan 40 sukarelawan.
"Kami mempunyai pasukan yang mantap," kata pelajar jurusan undang-undang Monash University yang berasal dari Johor Baharu, Malaysia.
Mohd Rameez, ketika melancarkan pesta itu berkata kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia sendiri adalah budaya unik.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Datuk Zainal Abidin Ahmad menyampaikan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur MASCA atas kejayaan menganjurkan pesta itu.
Fiesta Malaysia menampilkan 20 gerai makanan di samping menghiburkan pengunjung dengan beberapa persembahan kebudayaan dan yang paling menarik ialah pertandingan memakan durian.
Tourism Malaysia dan Malaysia Airlines juga menempatkan gerai-gerai yang menarik ramai pengunjung. - Bernama