MAJLIS AQIQAH DI SOUTH EAST MELBOURNE, 4 FEBRUARI 2012
Pada 4 Februari 2012 telah diadakan sambutan serentak majlis aqiqah, maulidurasul, perpisahan serta sambutan warga baru di Kampung South Eastern Victoria, Australia (SE). Majlis ini telah diadakan di salah seorang rumah warga SE, Saudara Mohd Rosmizi Abdul Rahman, calon PhD dalam jurusan perbandingan agama, yang terletak di Noble Park, 30 km dari Pusat Bandar Melbourne. Acara dimulakan dengan majlis gotong-royong untuk menyiapkan juadah yang berupa masakan daging gulai kawah, hasil sumbangan tuan rumah dan beberapa warga SE.
Tetamu mulai hadir pada jam 1 petang dan bersama-sama menunaikan fardu zuhur berjemaah sebelum mendengar tazkirah ringkas berkenaan dengan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Konsul Jeneral, Dr Mohamad Rameez bin Yahaya.
Selepas selesai majlis selawat memuji dan mengenangkan baginda Rasul, hadirin di sajikan dengan masakan rendang kerutuk resipi salah seorang pelajar tahun akhir Universiti Monash jurusan perakaunan, Muhammad Rashidul Amin. Di kesempatan yang ada, Dr. Mohamad Rameez menyampaikan taklimat berkenaan dengan kepentingan mendaftar sebagai pengundi luar negara dan prosidur yang perlu diikuti untuk tujuan tersebut. Majlis diakhiri dengan ucapan warga yang akan pulang dan baru sampai ke SE.