Satu Majlis Perjumpaan dengan Y.Bhg Tan Sri Hamad Kama Piah bin Che Othman, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB telah diadakan di Malaysian Hall, Melbourne pada hari Ahad, 26 Februari 2012. Majlis selama tiga jam yang di susuli dengan jamuan makan tengahari turut dihadiri oleh Konsul Jeneral Dr Rameez, Datin Paduka Jamiah (Timbalan Presiden Korporat dan Antarabangsa), Datin Paduka Kartini (Ketua Pegawai Strategi), Encik Khazali Rasip (Konsul), dan Encik Rudi (Assistant Warden Malaysian Hall). Majlis tersebut menyaksikan seramai 12 pelajar tajaan PNB di Australia yang kini mengikuti pengajian dalam bidang kewangan dan perdagangan di Universiti Melbourne dan Universiti Queensland, menerima kata-kata nasihat dari Tan Sri Hamad dan juga dari Dr Rameez.
Dalam ucapan Dr Rameez, beliau telah meminta agar pelajar tajaan PNB tersebut belajar dengan tekun dan juga memastikan mereka melibatkan diri dalam aktiviti sosial komuniti Malaysia di Melbourne. Beliau turut meminta agar pelajar tajaan PNB yang mengikuti pengajian di Melbourne University untuk mendaftarkan diri dengan Pejabat Konsulat Jeneral dan juga bagi mereka yang sudah berumur 21 tahun untuk mendaftarkan diri sebagai Pengundi Tidak Hadir di Konsulat Jeneral. Ucapan dari Tan Sri Hamad Kama menyentuh mengenai perlunya pelajar tajaan PNB bersikap unggul dalam akademi dan mendapatkan kelas pertama dalam pengajian mereka. Beliau juga meminta pelajar tersebut untuk tidak melibatkan dalam aktiviti dan genjala yang tidak baik dan berpolitik di Australia.