Mission News

Silat Cekak di Melbourne, Australia

11 January 2012 1 views

Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi mengembang sayap di benua Australia

 

Melbourne – 8 Januari 2012. Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi sekali lagi berjaya menempa sejarah baru dunia apabila telah membuka kelas latihannya yang pertama secara rasmi di luar negara, pada petang tadi.

 

Kelab Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Australia atau singkatannya Kesatria telah dilancarkan dan dirasmikan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Dr Mohamad Rameez Yahya dalam sebuah majlis penuh bersejarah bertempat di rumah penyelia kelas latihan Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Australia, En Azahari Kasbollah pada hari Ahad, 8hb Januari 2012.

 

Dalam ucapan perasmiannya, Dr Mohamed Rameez Yahya mengalukan usaha murni Kelab Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Australia dalam mengembangkan dan memartabatkan seni budaya Melayu, terutamanya Silat Cekak ke luar negara. Dengan inisiatif sebegini, bukan sahaja ia dapat mendaulatkan seni budaya Melayu maju setapak ke persada antarabangsa, malah ia dapat memberikan imej positif buat negara Malaysia di Australia. Beliau juga sangat optimistik bahawa Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi mampu menjadi wadah asuhan jasmani dan rohani buat para pengamalnya berlandaskan konsep-konsep murni yang disebatikan dalam silibus pembelajaran Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi.

 

Presiden penaja Kelab Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Australia, En Zaihan Othman menyatakan kegembiraan beliau apabila kelas latihan persilatan pertama Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Australia pada petang tadi berjalan lancar dan mendapat sambutan yang mengalakkan dari kalangan warga pelajar Malaysia di Melbourne, warga permastautin tetap Melayu di Australia dan juga warga bangsa asing yang Muslim. Beliau turut memanjatkan kesyukuran kerana atas berkat dan keizinan Pewaris Mutlak Silat Cekak, Tuan Syeikh Hj Md Radzi Hj Hanafi, Silat Cekak berjaya mencapai satu lagi pencapaian ulung seiring dengan kempen Jom Silat yang mensasarkan 2015 sebagai tahun keemasan Silat Cekak. Semoga Kelab Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Australia terus berkembang maju di benua Australia.

 

 

 

Share:
Link copied to clipboard
Back