Mission News

Tuanku Syed Sirajuddin rasmi Promosi Makanan Perlis di Melbourne

19 December 2014 1 views

 

KANGAR 8 Okt. - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail merasmikan Promosi Makanan Perlis selama dua minggu yang diadakan di Malaysian Cafe di 432 St. Kilda Road di Melbourne, Australia, semalam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang turut berangkat ke majlis itu, mempelawa rakyat Malaysia di sana menikmati keunikan makanan negeri Perlis dan bertitah bahawa makanan Perlis memikat selera mereka yang arif tentang kelazatan makanan.

Titah baginda, makanan yang dihidang sempena promosi itu termasuk Nasi Goreng Istimewa, Kari Ayam Arau, Rendang Daging Kangar, Sate Ayam Fauzana, Ikan Goreng Sambal dan Laksa Perlis.

"Kami sungguh berminat untuk memperkenalkan makanan kami di peringkat antarabangsa.

"Ini merupakan kali ke-24 promosi ini diadakan di luar negara dan kami sungguh gembira dengan sambutan yang diterima daripada orang ramai," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda seterusnya bertitah, "Saya difahamkan bahawa Melbourne merupakan ibu kota makanan bagi Australia dan saya amat gembira kerana warga Melbourne juga akan berpeluang menikmati makanan kami."

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, memandangkan kini makanan merupakan antara pemacu utama sektor pelancongan Malaysia, baginda berharap rakyat Australia akan berminat berkunjung ke Perlis bagi menjamu selera.

Tuanku Syed Faizuddin juga menyentuh tentang pelbagai tarikan lain di Perlis, terutama yang berkaitan ekopelancongan.

Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Perempuan Perlis, Tengku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan kehadiran Konsul Jeneral Datuk Dr. Mohd. Rameez Yahaya dan isteri, Datin Noor Zulaikan Nangaie.

Malaysian Cafe, yang dahulunya dikenali sebagai Delani, baru-baru ini dibeli oleh Datuk Yazid Salleh dan isteri, Datin Juliana Hong, yang juga mempunyai sebuah lagi tempat menjamu selera di Brighton, sebuah kawasan berhampiran pantai di sini. - BERNAMA

 



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Utara/20141009/wu_03/Tuanku-Syed-Sirajuddin-rasmi-Promosi-Makanan-Perlis-di-Melbourne#ixzz3MIjLAj4E 
© Utusan Melayu (M) Bhd

 

ww1.utusan.com.my/utusan/Utara/20141009/wu_03/Tuanku-Syed-Sirajuddin-rasmi-Promosi-Makanan-Perlis-di-Melbourne

Share:
Link copied to clipboard
Back