
Denis Napthine (dua kanan) bersama Mark Lankester (dua kiri) mengangkat topi sebagai gimik pelancaran Tune Hotel Melbourne di Melbourne, Australia, semalam.
KUALA LUMPUR 8 Nov. - Hotel penginapan bayar mengikut kegunaan, Tune Hotel telah mengukuhkan kedudukan di Australia dengan pembukaan rasmi hotel pertamanya di negara itu, Tune Hotel Melbourne, hari ini.
Pembukaan hotel itu sejajar dengan rancangan Kumpulan yang mahu mengembangkan tapak syarikat di rantau Australasia dengan Melbourne akan menjadi pusat pengoperasiannya.
Tune Hotel Melbourne mempunyai 225 buah bilik yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Victoria, Dr. Denis Napthine.
Yang turut hadir pada majlis perasmian hotel itu ialah Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Datuk Dr. Mohamad Rameez Yahaya dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Hotel , Mark Lankester.
Napthine berkata, keputusan Kumpulan Tune Hotel untuk membuka hotel di Melbourne akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Katanya, ini membuktikan keyakinan tinggi Tune Hotel terhadap negeri Victoria dan perkembangan ekonominya.
"Melbourne merupakan pusat acara Australia yang menawarkan akses sukan dan kebudayaan berkelas dunia kepada para pelancong.
"Tune Hotel Melbourne telah memberi satu model penginapan baharu di Australia dan saya amat berbangga bahawa Melbourne telah terpilih untuk diketengahkan dengan konsep baharu pelancongan ini," ujarnya.
Tune Hotel Melbourne telah dibuka secara tidak rasmi pada 21 Oktober lalu.
Pada 1 November lalu, Tune Hotel telah membuat promosi kadar penginapan rendah iaitu hanya AUD$50 semalam, penginapan paling berpatutan untuk Melbourne.
Tune Hotel Melbourne terletak di 609 Swanston Street, Carlton, Melbourne, dilengkapi dengan ruang rehat rekreasi, restoran, tempat simpanan beg, perkhidmatan cuci baju sendiri dan internet percuma di tingkat bawah.
Hotel itu juga berada berhampiran dengan University of Melbourne dan RMIT University serta hanya mengambil masa beberapa minit untuk ke Wilayah Pusat Perniagaan Melbourne (CBD).
Lankester pula berkata, pihaknya berasa amat teruja dengan pembukaan hotel pertama di Australia iaitu di Melbourne.
Menurutnya, pembukaan hotel itu telah memberi peluang penginapan pilihan kepada pelancong perniagaan dan pelancong liburan.
"Kami menerima tempahan bilik yang menggalakkan sejak Tune Hotels mengumumkan untuk memperkenalkan hotel di Melbourne, Jun lalu," ujarnya.
Tune Hotel Melbourne merupakan aset hartanah ke-34 Tune Hotel.
Selain di Melbourne, Tune telah mempunyai 11 hotel di Malaysia, lapan di Filipina, enam di Indonesia, lima di United Kingdom, empat di Thailand dan masing-masing satu di India dan Jepun.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20131109/ko_03/Tune-Hotel-Melbourne-dibuka-semalam#ixzz2kTdkvalg
© Utusan Melayu (M) Bhd