MELBOURNE 29 Jun — Seorang wanita hamil rakyat Malaysia yang menelan 34 until kecil heroin di Kuala Lumpur sebelum ditahan di lapangan terbang Melbourne, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan setelah mengaku bersalah menyeludup heroin.
Akhbar The Age melaporkan, Hakim Mahkamah Daerah, Gabriele Cannon menyelar Norazlinda Ramli, 35, dari Puchong, Selangor kerana sanggup membahayakan nyawa bayi yang dikandungnya dengan berkata tindakannya menjadi penyeludup dadah "tidak menguntungkan diri kamu".
Kata hakim itu, walaupun Norazlinda, yang melahirkan bayi perempuan dan diberi nama Grace pada 15 Julai lalu, berhasrat untuk tinggal bersama bayinya di dalam penjara, tetapi perkara itu akan diputuskan pihak berkuasa berkaitan.
Norazlinda, yang dipercayai menghadapi masalah kewangan, mengandung 12 minggu ketika menelan untilan dadah berkenaan dan menaiki pesawat Malaysian Airlines System Berhad dari Kuala Lumpur ke Melbourne pada 12 Februari lalu.
Setelah ditahan para pegawai kastam, dia mengeluarkan untilan yang mengandungi 83.1 gram heroin tulen dan dianggarkan bernilai A$92,200 di pasaran gelap.
Hakim Cannon berkata, Norazlinda mendakwa dia tidak menyedari untilan berkenaan mengandungi heroin.
Dalam keterangan kepada polis, Norazlinda berkata, dia didatangi seorang lelaki semasa bekerja di pusat membeli-belah di Subang Jaya dua minggu sebelum menaiki pesawat dan diberitahu akan dibayar sebanyak RM9,000 sekiranya dia menelan 80 until kecil dan pergi ke Australia.
Bagaimanapun, kata wanita itu, dia hanya dapat menelan 34 until.
Hakim Cannon berkata, Norazlinda menerima tawaran lelaki berkenaan kerana ingin menyara keluarganya.
Norazlinda mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan keluarganya ketika berusia 16 tahun dan mempunyai lima orang anak. Anak lelakinya meninggal dunia ketika berusia tiga tahun kerana masalah paru-paru tiga tahun lepas, manakala ibunya meninggal dunia akibat kanser pada 2009.
Rumah tangganya hancur pada 2010 apabila suaminya mengalami masalah mental dan dia kembali tinggal dengan keluarganya.
Berikutan itu, Norazlinda bersama anak-anaknya yang berusia 8, 11, 16 dan 19 tahun, terpaksa tinggal dengan bapa tirinya di sebuah pangsapuri tiga bilik.
Ketika bekerja di sebuah kedai pakaian, dia menjalin hubungan dengan lelaki bernama Abdul Ramen yang mengusahakan kedai runcit bersebelahan tempatnya bekerja.
Apabila hamil hasil hubungannya dengan Ramen, Norazlinda mengalami masalah kewangan untuk menanggung keluarganya dan ini mendorongnya bersetuju menelan untilan dadah berkenaan dan pergi ke Australia.
Hakim Cannon berkata, Norazlinda boleh dikenakan hukuman maksimum 25 tahun penjara serta denda sebanyak AUS$550,000, tetapi beliau mengurangkan hukuman itu setelah mengambil kira "masalah keluarga luar biasa yang dihadapinya." - BERNAMA