Mission News

Pengumuman Kepada Rakyat Malaysia yang melawat Vienna

13 May 2016 1 views

Kedutaan Besar Malaysia di Vienna, Austria ingin menarik perhatian semua warganegara Malaysia yang bercadang untuk melawat Austria supaya sentiasa berwaspada terhadap keselamatan diri dan menjaga barangan peribadi dengan baik. Ini berikutan peningkatan terhadap aduan daripada warganegara Malaysia yang telah kehilangan barangan peribadi seperti dompet dan dokumen perjalanan (pasport). Hasil daripada aduan yang diperolehi menunjukkan terdapat sindiket yang menjadikan pelancong di Austria sebagai sasaran untuk mendapatkan barangan berharga tanpa disedari oleh mangsa. Antara modus operandi yang kerap dilakukan oleh pencuri terhadap mangsa adalah seperti berikut:

 

  • menoreh beg-beg tangan mangsa dengan benda tajam;
  • merampas dan melarikan beg tangan mangsa khususnya ketika berjalan bersendirian;
  • mengambil beg yang disimpan di ruang simpanan beg di dalam keretapi sewaktu mangsa sedang tidur;
  • menawarkan diri untuk mengangkat/ menyimpan beg yang dibawa;
  • memperdaya mangsa dengan bertanya soalan dengan bahasa yang tidak difahami sementara rakan pencuri mengambil/ menyeluk beg yang disimpan di dalam poket baju/ seluar;
  • menawarkan perkhidmatan tukaran wang asing kepada mangsa;
  • mengambil beg yang diletakkan/digantung di kerusi/ meja di restoran; dan
  • mencuri beg yang disimpan di peti simpanan berkunci di pusat rekreasi/ pusat membeli belah.

Antara tempat/ kawasan yang berisiko tinggi adalah seperti berikut:

  • Lapangan Terbang Antarabangsa Vienna;
  • Stesen keretapi utama di Vienna;
  • Di dalam pengangkutan awam (Tram/ Keretapi/ Bas);
  • Di kawasan/ tempat tarikan pelancong;
  • Restoran – restoran di hotel/ pusat membeli belah; dan
  • Kawasan pusat rekreasi awam.

Sehubungan itu, Kedutaan Besar ingin menasihatkan kepada warganegara Malaysia supaya sentiasa berwaspada sepanjang lawatan ke Austria khususnya ketika berada di kawasan yang dinyatakan di atas. Sila pastikan barang-barang berharga yang dibawa sentiasa berada di tempat selamat serta elakkan daripada menerima sebarang pelawaan yang mencurigakan daripada mana-mana individu.

 

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau sebarang maklumat lanjut, Kedutaan Besar Malaysia di Vienna boleh dihubungi melalui +43 -1- 505 1042 atau +43 -1- 505 1569.

 

Kedutaan Besar Malaysia di Vienna

11 Mei 2016

 

Share:
Link copied to clipboard
Back