DHAKA- Pada 13 Disember 2012 yang lalu, satu Majlis Suai Kenal serta sesi beramah mesra bersama pelajar-pelajar perubatan Malaysia di Dhaka telah diadakan di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh. Majlis yang diadakan di bawah “Program Mendekati Rakyat Malaysia (PMRM)” ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara pelajar-pelajar Malaysia di Bangladesh dengan pihak Suruhanjaya Tinggi. Majlis berkenaan juga adalah bertujuan untuk mengemaskini maklumat pelajar yang sedia ada dan memberikan taklimat serta panduan kepada mereka untuk mengisi borang pendaftaran pemilih di luar negara.
Majlis telah dimulakan dengan sesi beramah mesra bersama PYT Norlin Othman, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan pegawai-pegawai Suruhanjaya Tinggi yang kemudiannya diteruskan dengan jamuan makan malam. Pelajar berkenaan telah dijamu dengan pelbagai jenis hidangan seperti nasi lemak, nasi himpit dan kuah kacang, sate serta pelbagai jenis kuih-muih yang turut disediakan oleh HBS di Suruhanjaya Tinggi.
Pelajar-pelajar Malaysia nyata gembira dan amat berterima kasih dengan usaha yang telah diambil oleh PYT Pesuruhjaya Tinggi dalam menganjurkan majlis berkenaan dan berharap majlis perjumpaan seperti ini akan dapat diadakan lagi pada tahun hadapan.
Suruhanjaya Tinggi
Malaysia
Dhaka, Bangladesh
14 Disember 2012