Persatuan Isteri-isteri Ketua Perwakilan Asing di Brasilia telah menganjurkan satu Bazaar Antarabangsa pada hari Sabtu, 20 Oktober 2007 di perkarangan Kedutaan Venezuela di Brasilia. Acara bermula dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang dan tiket masuk yang berharga Reis 5.00 telah dijual di luar pintu masuk Kedutaan Venezuela.
Malaysia yang mewakili kumpulan Asia-Oceania adalah di antara negara yang mengambil bahagian dalam bazaar ini di mana di antara negara-negara lain yang terlibat ialah Kuwait, Russia, Peru, Trinidad & Tobago, Egypt, Palestine, Argentina, Sweeden, Switzerland, Qatar, Afrika Selatan, Jerman, Sepanyol, Uruguay, Paraguay, Cape Verde, Morroco di samping negara-negara kumpulan Asia-Oceania lain seperti Indonesia, Korea Selatan, India, Sri Lanka, Australia, Thailand, Vietnam, Filipina, Myanmar, Jepun dan China juga turut serta. Barang-barang yang dipamerkan adalah untuk jualan dan sebahagian wang hasil dari jualan tersebut akan didermakan kepada badan-badan kebajikan di Brasilia manakala sebahagiannya adalah digunakan untuk meneruskan aktiviti persatuan.
Di antara barangan yang dipamerkan untuk jualan ialah barangan hasil kraftangan negara terlibat, pakaian, hasil ukiran, perhiasan kristal, mutiara, batu permata, alas meja, sarung kusyen, kain, kasut, tas tangan dan lain-lain lagi. Di samping barangan tersebut, pelbagai makanan dari seluruh dunia telah dijual dengan harga yang menarik dan berpatutan. Sambutan yang diterima sungguh menggalakkan dari pengunjung bazar yang terdiri dari orang-orang tempatan dari seluruh Brasilia. Malaysia antara lain telah mempamerkan hasil koleksi batik seperti tudung batik sutera, kaftan batik sutera, lukisan batik yang berupa motif ikan dan bunga-bungaan, topi batik, kipas batik, keychain, dompet batik dan lain-lain lagi disamping juadah yang dijual ialah karipap lapis berinti ayam, popia gulung, kek pisang dan nasi lemak. Gerai Malaysia menjadi tarikan para pengunjung kerana juadahnya yang menyelerakan di samping barangan batik yang beraneka rupa yang begitu terpersona mata memandang.