Mission News

BERMULANYA SEJARAH BARU (PERKHIDMATAN FERI DARI MUARA, BRUNEI KE MENUMBOK, SABAH)

05 January 2010 1 views

Antara kenderaan yang menaiki feri dari Muara ke Menumbok

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Tahap keselamatan begitu diberi perhatian penting sebelum memulakan perkhidmatan feri yang menghubungkan Muara dengan Menumbok di Sabah apabila beberapa langkah diambil bagi setiap kenderaan dan penumpang yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Sementara itu, pelancaran perkhidmatan feri dari Muara ke Menumbok untuk orang ramai bermula hari ini, 30 Disember 2009 dan antara penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Dato' Ku Jaafar Ku Shaari dan rombongan.

Sebelum pelayaran, Media Permata sempat menemu bual Dato' Ku Jaafar dan beliau berasa gembira dengan perasmian feri berkenaan untuk orang ramai dan berharap ia akan berjalan dengan baik dan lancar.

"Dengan adanya perkhidmatan feri ini, ia akan dapat merapatkan hubungan di antara Brunei dan Malaysia khususnya Sabah dan berharap di masa akan datang feri ini akan dapat ditambah lagi bagi melancarkan perjalanan seterusnya memudahkan dan memberi keselesaan perjalanan rakyat kedua-dua negara," jelasnya.

Pengarah Jabatan Laut, Haji Omar Haji Sirat yang menyentuh mengenai tahap keselamatan menjelaskan bahawa feri MV Shuttle Hope yang dimiliki Perkhidmatan Kapal Laut Jaya Sdn Bhd memang memenuhi kehendak standard keselamatan antarabangsa.

Menurut beliau, "sebelum feri ini dibenarkan untuk diberikan lesen, Jabatan Laut memeriksa ciri-ciri keselamatan sama ada ia memenuhi kehendak antarabangsa.

"Setiap kapal yang akan belayar dan semua krew dan kenderaan sudah masuk ke dalam feri, jabatan berkenaan akan membuat pemeriksaan antaranya dari seri jumlah penumpang, jumlah kenderaan yang masuk, krew dan keadaan cuaca," tambahnya.

"Projek perkhidmatan ini adalah di bawah perancangan BIMP-EAGA antara Brunei dan Malaysia," jelasnya.

Haji Omar menambah buat sementara ini hanya sebuah feri beroperasi dari Brunei ke Menumbok dan ia juga

merupakan feri pertama menghubungkan antara Brunei dan Sabah.

Turut hadir di majlis pelancaran perkhidmatan feri untuk orang ramai ialah Pemangku Pengarah Pelabuhan, Ang Kian Guan dan Pengarah Urusan PKL Jaya Sdn Bhd, Chin Mook Seng.

MV Shuttle Hope adalah feri yang dimiliki PKL Jaya Sdn Bhd yang boleh membawa 200 penumpang dan 45 kenderaan pada kelajuan 15 knot.

Penumpang hari ini berlepas dari Terminal Feri Serasa pada pukul 9.45 pagi tadi dan tiba di Menumbok 12.30 tengah hari.
Share:
Link copied to clipboard
Back