BRUNEI BERMINAT TEROKA PELUANG PELABURAN DI SABAH
KOTA KINABALU, Rabu - Brunei Darussalam berminat meneroka peluang-peluang pelaburan di Koridor Pembangunan Sabah (SDC), kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, TYT Dato? Ku Jaafar Ku Shaari.
Brunei katanya berminat meneroka peluang untuk mempelbagaikan ekonominya memandangkan simpanan minyak Negara itu semakin berkurangan, selain tertarik dengan khazanah alam semula jadi serta kelebihan lokasi yang dimiliki oleh Sabah.
Oleh itu, Sabah dan Brunei boleh saling melengkapi dalam sektor tenaga, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini selepas menghadiri taklimat mengenai SDC oleh Pengarah Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS), Datuk Dr Mohd Yaakub Johari.
TYT Dato' Ku Jaafar berkata beliau akan mengusahakan lawatan Ketua-Ketua Kedutaan Asing di Brunei ke Sabah seperti yang dilakukannya untuk Miri di Sarawak, memandangkan diplomat asing berminat mengetahui potensi tempat-tempat yang mereka lawati.
Dalam taklimatnya, Dr Mohd Yaakub berkata banyak yang boleh ditawarkan oleh Sabah untuk pelabur dari Brunei di SDC.
Sebagai contoh, Sipitang boleh menjadi lokasi berpotensi untuk pembangunan usaha sama dalam sektor tenaga berdasarkan lokasinya yang dekat dengan kelompok berintensifkan tenaga, iaitu Labuan, Brunei dan Bintulu.
Beliau berkata projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SGOT), yang diketuai oleh Petronas, terletak di sebelah utara Sipitang dan akan menghubungkan Bintulu menerusi Sipitang menerusi paip gas dasar laut.
Ihsan Media Permata