BRUNEI, MALAYSIA KUKUHKAN KERJASAMA DALAM BIDANG PENERANGAN
BANDAR SERI BEGAWAN, Mesyuarat ketiga jawatankuasa eksekutif bersama Memorandum Persefahaman dalam bidang penerangan antara Brunei dengan Malaysia bermula hari ini.
Agenda mesyuarat itu antara lain membincangkan mengenai laporan program di bawah Memorandum Persefahaman dalam bidang penerangan termasuk pertukaran bahan terbitan dan pameran, akhbar dan penerbitan (berita dan fotografi), pertukaran pegawai penerangan dan penempatan wartawan serta jurugambar.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Pemangku Pengarah Penerangan, Haji Mahrub Haji Murni dan Ketua Penerangan Malaysia, Dato' Haji Abdullah Morad.
Haji Mahrub dalam ucapan alu-aluannya berkata, mesyuarat berkenaan diharap akan dapat memperkukuhkan lagi kerjasama yang diterokai dalam kemajuan dan kesejahteraan penduduk serta rakyat di kedua-dua pihak melalui program pertukaran dan kerjasama yang sedia terjalin dalam bidang penerangan.
Hari ini, katanya kedua-dua pihak kembali bertemu untuk membincangkan Memorandum Persefahaman yang terjalin dalam suasana kedua-dua pihak menghadapi krisis tempatan dan global yang semakin mencabar seperti krisis kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang dan bencana alam.
Suasana persekitaran pula rancak dengan pelbagai perubahan membabitkan teknologi dan masyarakat canggih sehingga mewujudkan banyak pilihan dan cita rasa yang kompleks.
Keadaan ini mengajak kedua-dua pihak untuk mengeratkan lagi kerjasama yang padu dalam menyalurkan maklumat bernas dan tepat bagi mengukuhkan perpaduan serta kerjasama yang erat, katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan atas bantuan dan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia dalam meningkatkan kapasiti pegawai Jabatan Penerangan Brunei melalui kursus dan seminar yang ditawarkan.
Jabatan berkenaan akan berusaha untuk terus meningkatkan bidang kerjasama itu secara lebih meluas di masa akan datang.
Mesyuarat dua hari itu turut memuatkan tinjauan secara dekat bidang tugas Jabatan Penerangan Brunei dan mengadakan lawatan ke daerah Temburong bagi melihat secara dekat program pembangunan serta kegiatan masyarakat di daerah itu.
Ihsan Media Permata