BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kira-kira 50 ahli Alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) menghadiri Malam Alumni MTCP 2007 yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini malam ini.
Hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mustappa Haji Sirat, pegawai kanan kerajaan serta bekas peserta program MTCP.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Dato? Ku Jaafar Ku Shaari dalam ucapan beliau menekankan hubungan dua hala antara Brunei dan Malaysia sentiasa berada dalam keadaan baik tetapi perlu ada usaha berterusan dijalankan untuk mengukuhkan hubungan berkenaan.
Beliau berkata Malam Alumni MTCP diadakan untuk meraikan peserta program MTCP yang mengikuti kursus yang dianjurkan di Malaysia serta mendapatkan maklum balas terhadap program berkenaan.
Dato? Ku Jaafar menjelaskan menerusi program itu Malaysia dapat berkongsi pengalaman dengan banyak negara menerusi pelbagai program yang memberikan penekanan kepada pembangunan sumber manusia melalui latihan dalam pelbagai bidang termasuk pentadbiran awam, pertanian, pembasmian kemiskinan, promosi pelaburan, perbankan dan kemahiran Bahasa Inggeris.
Beliau mendedahkan antara 2003 hingga 2007 seramai 203 pegawai dari Brunei menjadi Alumni MTCP dengan mengikuti pelbagai kursus di bawah program berkenaan dan pada 2007 seramai 58 orang warga negara Brunei mengikuti pelbagai program yang dianjurkan di bawah program MTCP.
Dato? Ku Jaafar percaya program MTCP dapat menyumbang kepada pembangunan modal insan di Brunei dan yakin Kerajaan Brunei berkongsi matlamat sama dengan Kerajaan Malaysia dalam membangunkan sumber manusia bagi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran serta berpengetahuan supaya negara akan lebih berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran globalisasi.
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada Dato Paduka Haji Mustappa dari Dato Ku Jaafar dan kemudian diserikan dengan jamuan makan malam dan persembahan nyanyian.
Ihsan Media Permata