Mission News

Institusi raja perlu dipertahan - Ku Jaafar

10 June 2010 1 views

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Institusi raja telah wujud di seluruh dunia sejak berkurun lamanya dan peredaran zaman telah memperlihatkan sistem beraja di banyak negara lenyap akibat dari peperangan dan penjajahan.

Walau bagaimana pun, sistem ini masih dapat dikekalkan di bahagian negara lain termasuk Malaysia, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke negara ini, Dato' Ku Jaafar Ku Shaari malam ini sempena sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong disambut setiap tahun kerana Yang Di-Pertuan Agong adalah sesuatu yang signifikan memandangkan Yang Di-Pertuan Agong merupakan Pemerintah Tertinggi bagi negara Malaysia, simbol perpaduan bagi rakyat yang berbilang kaum dan tempat rakyat berpayung dan bernaung.

Semenjak merdeka, Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan sistem ini telah menjadi pemangkin kepada pelbagai kejayaan yang dicapai oleh negara Malaysia selama ini.

Justeru, katanya adalah menjadi tanggungjawab warga Malaysia untuk mempertahankan sistem ini selaras dengan prinsip kedua rukun negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.

Sejak kebelakangan ini, terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang sudah mengenepikan prisnip ini semata-mata kerana kepentingan politik dan ini adalah sesuatu yang sangat menyedihkan, katanya lagi.

Beliau menambah, kehadiran warga Malaysia di Brunei kerana membantu pembangunan ekonomi dan sosial negara ini amat dihargai oleh kerajaan negara ini dan juga Malaysia.

"Sebahagian dari kita telah menetap di negara ini bagi tempoh yang lama sehingga berpuluh tahun dan selagi kita masih warga Malaysia, janganlah sesekali kita melupakan asal usul dan kesetiaan kita kepada negara.

"Marilah kita hidupkan semangat 'Satu Malaysia' dengan mengeratkan hubungan dan kerjasama di kalangan kita tanpa mengira agama, kaum dan keturunan," jelasnya.

Bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong, Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan mengadakan pertandingan badminton piala Agong dan pertandingan boling piala Agong seperti tahun sebelumnya dan dibukakan kepada ahli PKMS dan PWM.

Majlis resepsi turut dimeriahkan dengan persembahan 'One Malaysia Talents' oleh STM, PKMS dan PWM.

 

Media Permata : 7 Jun 2010

 

Share:
Link copied to clipboard
Back