Mission News

KEMPEN MYES 2019 DILANCARKAN

02 September 2019 1 views

 

Kempen MYES 2019 dilancarkan

September 4, 2019

Oleh Sim Y. H. -  MEDIA PERMATA

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Pelancong Brunei terus menjadi antara penyumbang utama ketibaan pelancong luar ke Malaysia dalam tempoh sembilan tahun kebelakangan ini, menjana 53.2 peratus perbelanjaan daripada aktiviti membeli-belah semasa kunjungan mereka ke Malaysia.

Dalam masa enam bulan pertama tahun ini pula, Brunei di tangga kelima dengan seramai 627,112 orang melancong ke Malaysia, dengan Singapura, Indonesia, China dan Thailand masing-masing di tempat pertama sehingga keempat.

Sehubungan itu, dalam usaha mempromosikan pakej percutian Jualan Hujung Tahun Malaysia (MYES) 2019 sempena Visit Truly Asia Malaysia 2020, Tourism Malaysia bekerjasama dengan rakan-rakan strategiknya iaitu Malaysia Airlines, Royal Brunei Catering dan tiga buah agensi pelancongan tempatan, Freme Travel Sdn Bhd, Pan Bright Travel Services dan Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd melancarkan Kempen Pakej MYES 2019 di Restoran Anjung Saujana, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Pelancaran kempen promosi berkenaan disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ismail bin Haji Salam.

Turut hadir ialah Pengarah Tourism Malaysia, Brunei Darussalam, Haji Ibrahim Seddiqi bin Talib, Pengurus Kawasan Sarawak dan Brunei, Malaysia Airlines Berhad, Alias Suut, wakil-wakil dari Royal Brunei Catering, agensi-agensi pelancongan dan jemputan khas.

Haji Ibrahim Seddiqi dalam ucapannya di majlis berkenaan menyatakan bahawa membeli-belah merupakan aktiviti utama pelancong Brunei Darussalam semasa mereka berada di Malaysia, oleh itu, Kempen Promosi MYES 2019 menawarkan pakej-pakej pelancongan dengan harga yang amat menarik dan bertepatan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Brunei Darussalam mengambil peluang dan manfaat daripada kempen yang dijalankan itu.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada tiga buah agensi pelancongan tempatan iaitu Pan Bright Travel Services, Freme Travel Services dan Straits Central Agency kerana terpilih untuk melaksanakan kempen promosi MYES 2019 dengan menawarkan pakej-pakej yang menarik sepanjang tempoh promosi itu.

“Lebih menarik lagi, penglibatan dan sokongan padu oleh Malaysia Airlines Berhad dalam memberikan harga tiket yang kompetitif kepada tiga agensi ini berserta 39kg bagasi bagi semua pakej MYES yang dijual,” jelasnya.

Pada masa yang sama, pemberian diskaun 20 peratus oleh pihak pengurusan Royal Brunei Catering kepada semua pembeli pakej MYES bagi menikmati bufet sepanjang berlangsungnya Promosi Makanan Taste of Malaysia dari hujung Ogos hingga penghujung September serta bagi ala carte sehingga akhir Disember, jelasnya, adalah satu langkah yang tepat dan bijak bagi membolehkan manfaat dari penjualan pakej MYES itu dapat dinikmati serta dikongsi oleh kedua-dua buah negara.

Beliau menambah, “Diharapkan dengan adanya langkah promosi seumpama ini di antara Tourism Malaysia, agensi pelancongan, Malaysia Airlines Berhad dan Royal Brunei Catering, ia akan dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Brunei Darussalam dan Malaysia.”

 

TYT Ismail menandatangani poster promosi bagi menyempurnakan Pelancaran Kempen Pakej MYES 2019 Bersempena Visit Truly Asia Malaysia 2020 yang berlangsung di Restoran Anjung Saujana, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

 

Share:
Link copied to clipboard
Back