BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam hari ini melancarkan majlis perasmian seminar dan Travel Mart Promosi pelancongan Jom ke Melaka sempena Sukan Malaysia XIII Melaka 2010. Majlis itu berlangsung di salah sebuah hotel di Gadong yang turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Dato' Ku Jaafar Ku Shari. Dalam ucapan perasmian, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyeru usahawan Brunei memfokuskan pelaburan asing dalam pembangunan pendidikan dan sumber manusia. Menurutnya, dengan adanya penerbangan langsung dari Brunei ke Melaka, membuka lembaran baru dalam perhubungan kedua-dua pihak. Beliau mengalu-alukan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei untuk beroperasi di lapangan terbang itu dan kini katanya, pihak mereka giat menjemput penerbangan lain seperti Lion Air, Neptune Air dan Firefly untuk turut menggunakan lapangan terbang itu sebagai pintu masuk ke Melaka dan Malaysia. Beliau yang kali terakhir berkunjung ke Brunei 20 tahun lalu, menyatakan perasaan bangganya mewakili rakyat Malaysia apabila melihat pembangunan pesat negara ini yang positif. Katanya lagi, ia menjadi platform lembaran baru dalam pelbagai bidang terutama pelancongan di antara kedua-duanya. "Brunei dialu-alukan untuk menyertai di dalam kejohanan sukan Malaysia pada tahun ini yang akan mempertandingkan 33 acara dan menyediakan pelbagai pengalaman baru bukan sahaja dalam sukan malah dalam riadah dan pengalaman di negeri kota bersejarah yang di iktiraf UNESCO," ujarnya lagi. Antara beberapa aspek baru di Melaka adalah Arena Sukan terbesar di Malaysia, Padang Bola terbesar yang boleh memuatkan 20 pasukan dalam waktu yang sama, gelanggang boling terbesar serta litar go-kart terpanjang di Asia menjadikan dunia sukan sebagai salah satu tarikan utama ke Melaka, tambahnya lagi. |
(Media Permata, 4 Mei 2010)