Pada 11 Mei 2024, TYT Raja Dato’ Reza Raja Zaib Shah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam telah diperkenankan mengadakan Kunjungan Menghadap Perpisahan ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman.
Pada sesi menghadap tersebut, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia menzahirkan rasa puas hati dengan perkembangan pesat hubungan serta kerjasama dua hala kedua-dua buah negara sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di Brunei Darussalam sejak Julai 2021 termasuk peningkatan ketara jumlah dagangan dua hala. Beliau turut menyatakan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuhkan hubungan akrab dan istimewa dengan Negara Brunei Darussalam.
TYT Raja Dato’ Reza merafak sembah takzim dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerima menghadap.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |






