BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Negara Brunei Darussalam dan Malaysia akan terus mengukuhkan, mengeratkan serta menerokai peluang kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan ekonomi.
Dalam hubungan itu, komuniti usahawan Malaysia yang berada di Negara Brunei Darussalam boleh memainkan peranan penting dalam sama-sama meneroka peluang kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi dan perdagangan bagi manfaat kedua-dua buah negara.
Harapan itu disuarakan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti Usahawan Malaysia di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.
Majlis berkenaan dihadiri oleh usahawan Malaysia di negara ini, pegawai-pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam serta jemputan khas.
Dalam ucapannya lagi, Datuk Seri Mohamed Azmin turut memberikan penerangan mengenai usaha dan inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dalam mengembangkan lagi pembangunan dan ekonomi negara berkenaan.
Terdahulu dalam kata alu-aluannya, Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam, Rafedah Abdul Aziz menyatakan bahawa hubungan dua hala antara Brunei dan Malaysia terus sahaja kukuh dan erat dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi.
Beliau menyatakan bahawa hubungan ekonomi khususnya perdagangan dua hala antara kedua-dua buah negara berkembang dengan positif pada 2017 jika dibandingkan dengan 2016.
Beliau menaruh harapan hubungan perdagangan dua hala berkenaan akan terus diperkukuhkan serta peluang kerjasama dua hala yang baharu dapat diterokai.
Pada majlis berkenaan, para usahawan Malaysia dan jemputan turut berpeluang untuk mengajukan soalan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin semasa sesi soal jawab yang diadakan.
Source: https://mediapermata.com.bn/kukuhkan-kerjasama-dua-hala/
| YB Dato Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapan beliau
|
|
|
| Hadirin yang hadir.
|
| YB Dato Seri Mohamed Azmin Ali bergambar bersama Malaysian Diaspora.
|
| YB Dato Seri Mohamed Azmin Ali bergambar bersama HBS dan LRS Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam.
|