KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan berangkat mengadakan lawatan khas ke Negara Brunei Darussalam dari 7 hingga 9 September 2023. Lawatan khas tersebut merupakan sebahagian daripada jelajah Kembara Kenali Borneo sejauh 2,154km oleh Seri Paduka Baginda berdua merentasi Sabah, Brunei Darussalam dan Sarawak dari 3 hingga 13 September 2023.
Dalam rangka lawatan, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Bandar Seri Begawan. Turut berangkat, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Usai menunaikan solat Jumaat, Seri Paduka Baginda turut berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari bersama DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di masjid tersebut.
Selain daripada itu, Seri Paduka Baginda berdua juga berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam di Dewan Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman. Majlis Santapan tersebut dihoskan oleh KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Lawatan khas Seri Paduka Baginda berdua ke Negara Brunei Darussalam mencerminkan keutuhan hubungan istimewa dan akrab antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |









