Mission News

Lawatan Majlis Islam Sarawak ke Kementerian hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam mempromosi Nadwah Ulama Nusantara VIII Sempena 55 Tahun Sarawak

24 July 2018 1 views

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Delegasi seramai 11 orang daripada Nadwah Ulama Nusantara telah mengadakan lawatan ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis, Berakas, hari ini.

 

Lawatan delegasi yang diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Malaysia, Datu Haji Misnu bin Haji Taha itu dimulakan dengan kunjungan hormat kepada Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, KHEU.

 

Semasa kunjungan hormat tersebut, delegasi memperkenalkan mengenai Nadwah Ulama Nusantara VIII sempena 55 Tahun Sarawak Merdeka yang akan diadakan pada 23 hingga 25 Oktober depan di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan di Hotel Riverside Majestic Kuching, Sarawak dengan tema ‘Sinergi Ulama Dalam Pemerkasaan Ummah’.

 

Ia sebagai satu usaha menggembleng tenaga, ilmu dan pemikiran ulama dalam usaha meningkatkan keupayaan ummah.

 

Nadwah tersebut merupakan anjuran bersama kerajaan Negeri Sarawak, Majlis Islam Sarawak, Pusat Rantau Timur Tengah dan Nusantara serta Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

 
 

 

Hadir bersama delegasi ialah Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Datu Haji Kipli bin Haji Yassin. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Rafedah binti Abdul Aziz; Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Serudin bin Haji Timbang.

 

Seterusnya delegasi menghadiri sesi taklimat mengenai Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) yang dipengerusikan oleh Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz.

Taklimat bertajuk ‘Kuasa, Tugas dan Tanggungjawab MUIB’ telah disampaikan oleh Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Akop.

 

Hadir sama pada majlis taklimat di Bilik Musyawarah, Tingkat 4, KHEU itu ialah Haji Serudin.

 

Majlis tersebut juga menyaksikan pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Nadwah Ulama Nusantara VIII Sempena 55 tahun Sarawak Merdeka’ yang disampaikan oleh Penolong Setiausaha Majlis Islam Sarawak Malaysia, Haji Hazimin Shakir bin Said.

 

 

Source: https://mediapermata.com.bn/kheu-terima-kunjungan/

 

 

Share:
Link copied to clipboard
Back