Mission News

LAWATAN PERDANA MENTERI MALAYSIA KE BRUNEI

19 October 2011 1 views

LAWATAN PERDANA MENTERI MALAYSIA, YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK KE BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA KONSULTASI TAHUNAN (ANNUAL LEADERS’ CONSULTATION) KE-15 PADA 12 HINGGA 13 SEPTEMBER 2011  

 

 

YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan Lawatan Kerja ke Brunei Darussalam sempena Konsultasi Tahunan (Annual Leaders’ Consultation) ke-15 pada 12 hingga 13 September 2011. Delegasi lawatan tersebut turut disertai oleh Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Sri Anifah Aman; Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Datuk Seri Noh Omar; Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Shaziman Abu Mansor; Ketua Menteri Sarawak, YAB Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Musa Aman dan Timbalan Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, YB Dato' Mukhriz Mahathir.

 

YAB Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan empat mata dengan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman pada 12 September 2011.

 

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas itu, pertemuan empat mata tersebut antaranya membincangkan mengenai  pelaksanaan projek bersama membina Jambatan Sungai Pandaruan yang menghubungkan Limbang di Malaysia dengan Temburong, Brunei Darussalam. YAB Perdana Menteri juga memaklumkan dalam sidang akhbar selepas pertemuan tersebut bahawa KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah telah dimaklumkan mengenai cadangan pembinaan kompleks petrokimia di Pulau Muara Besar dengan kerjasama Syarikat BASF melibatkan pelaburan berjumlah USD1.6 juta dan boleh memberikan 650 peluang pekerjaan. Projek kedua membabitkan cadangan memajukan sebuah limbungan fabrikasi di Brunei Darussalam oleh Petronas menerusi anak syarikatnya Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad. Perkara lain yang dibincangkan termasuklah mengenai peluang pelaburan Brunei Darussalam dalam bidang pelancongan di Sabah dan penjanaan tenaga hidro di Sarawak serta kerjasama dalam perbankan Islam.

 

Pertemuan tersebut diikuti dengan penyaksian pemeteraian perjanjian mengenai projek pembinaan Jambatan Sungai Pandaruan. Selain itu, tiga Memorandum Persefahaman (MoU) telah juga dimeterai berkaitan dengan kerjasama ekonomi dan pelaburan antara Brunei Darussalam dan Sarawak; serta Brunei Darussalam dan Sabah; dan MoU kerjasama antara Petronas dan Petroleum Brunei.

 

YAB Perdana Menteri juga berpeluang bertemu dengan rakyat Malaysia yang bermastautin di Brunei Darussalam dalam satu perjumpaan Hari Raya Aidilfitri di Empire Hotel and Country Club dan dihadiri oleh seramai 300 tetamu. Dalam ucapannya, YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa terdapat banyak perkembangan dalam hubungan Malaysia dan Brunei Darussalam lanjutan daripada Pertukaran Surat (Exchange of Letters) antara Malaysia dan Brunei Darussalam pada 16 Mac 2009. YAB Perdana Menteri juga menyatakan bahawa berdasarkan situasi yang kondusif, nilai pelaburan di antara kedua negara juga dijangka meningkat.

 

YAB Perdana Menteri Memberi UcapanYAB Perdana Menteri Bersama KDYMM Sultan BruneiYAB Perdana Menteri Ketika Menikmati JamuanYAB Perdana Menteri Semasa Ketibaan di Hotel Empire & Country Club PAB Perdana Menteri ketika Program bersama Rakyat Malaysia Di BruneiSesi Fotografi

Program Bersama Rakyat Malaysia Di Brunei

Share:
Link copied to clipboard
Back