| January 24, 2019 Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jan – Menteri Pertahanan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof hari ini menerima kunjungan rakan sejawat, Menteri Pertahanan Malaysia, Haji Mohamad bin Sabu di Bolkiah Garison, Kementerian Pertahanan.
Haji Mohammad yang berada di negara ini dalam rangka lawatan rasmi dua hari, disambut dengan perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Semasa pertemuan tersebut, kedua-dua belah pihak telah mengulangi komitmen untuk mengukuhkan hubungan dua hala pertahanan dan ketenteraan yang sedia ada dan meningkatkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang pertahanan dan ketenteraan menerusi platform dua hala dan pelbagai hala.
Kedua-dua institusi pertahanan dan tentera telah sering bekerjasama pada peringkat serantau dan peringkat antarabangsa, khususnya di bawah rangka Pasukan Pemantauan Antarabangsa (IMT) di Mindanao dan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Sepanjang program lawatan beliau, Haji Mohamad juga berkesempatan melawat Muzium ABDB dan Akademi Pertahanan ABDB di mana beliau juga berinteraksi dengan pegawai-pegawai Malaysia yang menyertai Kursus Maktab Turus sesi ke-9. Beliau juga melawat beberapa buah tempat lain termasuk Taman Mahkota Jubli Emas, Muzium Alat Kebesaran Diraja, kawasan Kampong Ayer, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Lawatan pengenalan Haji Mohamad menandakan komitmen dalam memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.
Source: https://mediapermata.com.bn/menteri-pertahanan-msia-adakan-lawatan-tiga-hari/
|