YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan isteri YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail telah mengadakan lawatan rasmi ke Brunei Darussalam dari 24 hingga 25 Januari 2023. Delegasi YAB Perdana Menteri disertai oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri dan isteri, YBhg. Datin Seri Saripah Zulkifli, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak serta Pegawai-pegawai Tinggi Kerajaan.
Ketibaan YAB Perdana Menteri dan isteri di Lapangan terbang Antarabangsa Bandar Seri Begawan pada 24 Januari 2023 disambut oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, mewakili Kerajaan Brunei Darussalam dan diberikan sambutan negara.
Pada hari kedua lawatan, YAB Perdana Menteri dan delegasi telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman. YAB Perdana Menteri dan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan turut mengadakan pertemuan empat mata untuk membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama.
Setelah selesai pertemuan empat mata, YAB Perdana Menteri dan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman di antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Brunei Investment Agency (BIA) yang akan membuka peluang kedua-dua negara mengembangkan pelaburan di dalam sektor baharu. Seterusnya, YAB Perdana Menteri dan delegasi diraikan di dalam Majlis Persantapan Rasmi yang dihoskan oleh KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan.
Selain itu, pada 24 Januari 2023, YAB Perdana Menteri turut meluangkan masa bertemu diaspora Malaysia di dalam satu majlis makan malam anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia. Ia dihadiri sekitar 400 tetamu yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang.
![]() | ![]() | |
![]() | ![]() | |
![]() | ![]() | |
![]() | ![]() | |
![]() | ||








