Mission News

LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

17 February 2022 1 views

YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia mengadakan lawatan rasmi ke Negara Brunei Darussalam dari 14 hingga 15 Februari 2022. Beliau diiringi oleh isteri, YABhg Datin Sri Muhaini Zainal Abidin, YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri dan YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan serta pegawai-pegawai Kerajaan dari Kementerian dan agensi berkaitan.

 

 

Ketibaan YAB Perdana Menteri dan isteri ke Negara Brunei Darussalam pada 14 Februari 2022 disambut oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, mewakili Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

 

 

Semasa lawatan ini, YAB Perdana Menteri dan delegasi telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman. YAB Perdana Menteri dan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan turut mengadakan pertemuan empat mata untuk membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama. Antaranya adalah kerjasama baharu antara kedua-dua negara pasca COVID-19 termasuk pengwujudan 'Vaccinated Travel Lane' (VTL) bagi laluan udara dan darat, pengiktirafan bersama sijil vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera dan BruHealth serta meningkatkan kerjasama di dalam bidang ekonomi. Seterusnya, YAB Perdana Menteri dan delegasi diraikan di dalam Majlis Persantapan Rasmi yang dihoskan oleh KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan.

 

 

YAB Perdana Menteri turut meluangkan masa untuk bertemu ‘Keluarga Malaysia’ di Negara Brunei Darussalam di dalam Majlis Minum Petang anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia. Pada majlis berkenaan, TYT Dato’ Raja Reza mewakili komuniti Malaysia di negara ini telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM50,000.00 kepada Tabung Bantuan Bencana Negara bagi meringankan beban rakyat di Malaysia yang terkesan dengan bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Share:
Link copied to clipboard
Back