Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan Malaysia telah mengadakan lawatan rasmi ke Negara Brunei Darussalam pada 7 Februari 2023 dalam usaha mempertingkatkan kerjasama pertahanan kedua-dua buah negara.
Majlis mengadap YB Menteri Pertahanan ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Brunei berlangsung di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bengawan. Pertemuan ini merupakan pertemuan pertama YB Menteri Pertahanan setelah dilantik menjadi Menteri Pertahanan Malaysia pada Disember 2022.
Semasa pertemuan tersebut turut diadakan sesi perbincangan yang produktif khususnya mengenai kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Brunei. Dalam masa yang sama, YB turut memanjangkan jemputan kepada KDYMM Sultan Brunei untuk mencemar duli berangkat ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang akan diadakan pada 23 hingga 27 Mei 2023.
Sebelum itu, YB Menteri Pertahanan telah membuat kunjungan muhibbah ke atas Yang Mulia Brig Jen (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd Kadir, Timbalan Menteri Pertahanan Brunei. Perbincangan lebih memfokus kepada hubungan pertahanan dua hala yang sedia terjalin melalui kerjasama pertahanan di pelbagai bidang termasuk perjanjian-perjanjian pertahanan, pertukaran profesional di semua peringkat, latihan dan eksesais ketenteraan merentasi Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara kedua-dua belah pihak.
Kedua-dua buah negara juga turut bekerjasama dalam beberapa platform pelbagai hala, seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus, serta melalui operasi pengaman antarabangsa iaitu Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL). Pertemuan ini secara tidak langsung dapat mempereratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin dan memberi peluang kepada kedua-duanya negara untuk mempertingkatkan lagi perkongsian strategik.
Menyertai YB Menteri Pertahanan semasa lawatan rasmi tersebut ialah Yang Berbahagia Jeneral Dato Paduka Seri Tan Sri Dato Sri’ Haji Affendi bin Buang, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, TYT Raja Dato’ Reza bin Raja Zaib Shah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei dan Tuan Ahmad Nadzri bin Mohd Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Malaysia.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |





