| YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri Malaysia mengadakan Lawatan Rasmi ke Brunei Darussalam pada 13 Ogos 2018 bagi memenuhi undangan TYT Dato Seri Setia Haji Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohammad Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II Brunei Darussalam.
Lawatan ini adalah merupakan sebahagian daripada siri lawatan pengenalan beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Luar Negeri Malaysia yang baharu pada 2 Julai 2018 yang lalu. YB Dato’ Saifuddin Abdullah diiringi oleh pegawai-pegawai Kementerian Luar Negeri iaitu En. Eldeen Husaini Mohd Hashim, Setiausaha Bahagian, Bahagian Asia Tenggara dan YM Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir, Pegawai Khas kepada Menteri Luar Negeri.
Ketibaan YB Menteri Luar Negeri di Lapangan Antarabangsa Brunei pada pagi 13 Ogos 2018 telah disambut oleh Puan Rafedah Abd. Aziz, Kuasa Usaha Sementara dan para pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam.
Sejurus tiba, YB Menteri Luar Negeri terus menuju ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam untuk sesi ramah mesra dengan Home Based Staff (HBS) dan Kakitangan Ambilan Tempatan (KAT). YB Menteri Luar Negeri telah menyampaikan ucapan beliau dan seterusnya sama-sama menikmati sarapan pagi yang telah disediakan.
Selesai sesi ramah mesra, YB Dato’ Saifuddin Abdullah dan delegasi bertolak ke Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan untuk bertemu dengan rakan sejawat beliau, TYT Dato Seri Setia Haji Erywan bagi membincangkan isu-isu dua hala Malaysia – Brunei Darussalam serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Semasa lawatan, YB Dato’ Saifuddin Abdullah juga menghadap kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Lawatan ini bakal membuka peluang kepada kedua-dua negara untuk meneroka dan memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama.
Berikut adalah antara gambar yang diambil semasa lawatan berlangsung. |
| Audience Photo by Borneo Bulletin- https://borneobulletin.com.bn/his-majesty-receives-in-audience-malaysian-foreign-minister/ |
| |
| YB Menteri Luar Negeri menurunkan tandatangan di Buku Tetamu Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Bandar Seri Begawan
|
| |
| Pn. Rafedah Abd. Aziz, Kuasa Usaha Sementara menyampaikan ucapan alu-aluan.
|
| |
| YB. Menteri Luar Negeri menyampaikan ucapan beliau.
|
| |
| YB. Dato' Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri Malaysia.
|
| |
| Family Photo - YB Menteri Luar Negeri bergambar kenang-kenangan bersama semua HBS dan KAT.
|
| |
| Sesi Ramah Mesra YB Menteri Luar Negeri dengan HBS dan KAT Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Bandar Seri Begawan. |