Mission News

Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan Kepada Anak-anak Berkeperluan Khas Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam

28 March 2024 1 views
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan meneruskan tradisi berkongsi rezeki dan menyantuni golongan kurang upaya di bulan Ramadan dengan menganjurkan Majlis Iftar bersama 30 anak-anak istimewa dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam serta penjaga mereka pada 28 Mac 2024. Program yang diadakan dengan kerjasama Syarikat Cityneon Brunei ini telah berlangsung di premis Pusat Ehsan, Bengkurong. Turut hadir, Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abd Wahab, pemegang amanah kanan Pusat Ehsan dan
Pg Sarimah binti Pg Hj Abd Latiff, pemegang amanah Pusat Ehsan dan Pengarah Urusan Cityneon Brunei, Dato Ting Jack Chai serta pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
 
Majlis dimulakan dengan upacara penyampaian sumbangan duit Raya kepada anak-anak Pusat Ehsan yang disempurnakan oleh TYT Raja Dato’ Reza Raja Zaib Shah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam dan Dato Ting Jack Chai. TYT Pesuruhjaya Tinggi dan isteri turut menyampaikan sumbangan peribadi berupa beberapa peralatan elektrik serta sumbangan wang tunai BND1,200.00 hasil kutipan daripada kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan PERWAKILAN Bandar Seri Begawan.
 
Majlis seumpama ini merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial (corporate social responsibility) Suruhanjaya Tinggi Malaysia kepada masyarakat di Brunei Darussalam. Ia juga diharapkan dapat memberi peluang kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia merapatkan ukhuwah dengan anak-anak berkeperluan khas ini dan kakitangan Pusat Ehsan.
 
Dalam masa yang sama, majlis ini turut diadakan sempena memperingati ulang tahun ke 40 penubuhan hubungan diplomatik Malaysia-Brunei.
 
 
 
 
Share:
Link copied to clipboard
Back