MAJLIS RAMAH MESRA MENTERI MALAYSIA
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Julai 2008, Rabu - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan pertemuan dengan kira-kira 50 orang jemputan rakyat Malaysia sempena lawatan rasmi beliau ke Brunei.
Sebelum majlis ramah mesra, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid diperkenankan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Ketika majlis ramah mesra itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bercakap mengenai peranannya sebagai menteri di jabatan perdana yang menjaga hal ehwal agama dengan menjelaskan motonya adalah untuk memprofesionalkan institusi agama.
Antara perkara yang menjadi tumpuannya adalah mempertingkatkan kedudukan institusi zakat dan wakaf di Malaysia.
Menurutnya, aset wakaf di Malaysia saja sudah mencecah RM1 bilion dimana jika dipergunakan dengan baik, akan mempertingkatkan pemegangan kepentingan perniagaan umat Islam.
Bagaimanapun jelasnya pembangunan wakaf mestilah dibuat tanpa mengetepikan hukum syarak dan kerana ini beliau mempertemukan ahli profesional dan ulama untuk memastikan pembangunan wakaf berlandaskan hukum Islam dengan cara yang betul.
Ihsan Media Permata