Pada 15-16 Julai 2024, TYT Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan isteri YABhg. Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi; isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah YABhg. Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R.M. Jasni; dan YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Premier Sarawak serta isteri telah hadir selaku tetamu khas KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-78. Turut mengiringi, YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan Timbalan Premier Sarawak dan YB Dato Sri Haji Julaihi Narawi Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.
Majlis Sambutan dimulakan dengan Istiadat Barisan Kehormatan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien pada 15 Julai sebelum diteruskan dengan Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman. Majlis Persantapan Diraja telah berlangsung pada 16 Julai di Dewan Persantapan, Istana Nurul Iman.
Pada sambutan tahun ini, Baginda Sultan telah berkenan mengurniakan YAB Premier Sarawak Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Pertama (PSNB) yang membawa gelaran Dato Seri Setia. Majlis Sambutan berlangsung dengan penuh adat istiadat dan dihadiri oleh Kerabat-kerabat Diraja, Tetamu-tetamu khas Baginda Sultan, Orang-orang kenamaan, Duta-duta Asing serta Pegawai-pegawai Tinggi Kerajaan.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |









