Mission News

Penyertaan Pelajar Malaysia ke Pertandingan Pidato Persahabatan 2018, Anjuran Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam

25 November 2018 1 views

BERAKAS, Isnin, 26 November. - Dayang Hidayatul Marshanda Arabella binti Haji Hasnan dari Sekolah Chung Hwa Bandar Seri Begawan yang mewakili Negara Brunei Darussalam muncul johan Pertandingan Pidato Persahabatan Tahun 2018 setelah pidatonya bertemakan Jati Diriku, Keperibadianku berjaya menawan hati para juri.

  

Naib Johan disandang oleh Deidre Tan Yun Xin dari Sekolah Chung Hwa Bandar Seri Begawan mewakili Negara Malaysia dan tempat ketiga diraih oleh Dayangku Damia Bazla binti Pengiran Muhammad Faisal dari Sekolah Seri Mulia Sarjana mewakili Negara Brunei Darussalam. 

 

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah Pertandingan Akhir Pidato Persahabatan yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka itu ialah Pemangku Pengarah Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Mohamed Jais bin Haji Abd. Rahman. 

 

Terdahulu dalam ucapan Pegawai Pelajaran Kanan/Ketua Unit Akli, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Dayang Hajah Hajidah binti Haji Abdul Wahab berkata, pertandingan tersebut merupakan sebuah pertandingan yang julung kalinya diadakan dan dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Akli dan menjemput negara-negara anggota Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia (MABBIM) untuk menghantar dua orang peserta yang berumur 12 tahun ke bawah dan bersekolah di peringkat sekolah rendah di Negara Brunei Darussalam untuk menyertai pertandingan ini.

 

 

 

"Satu nilai keterampilan yang perlu dibentuk pada era kemajuan teknologi dan globalisasi ini ialah memperkasakan generasi muda dengan keterampilan berbahasa yang lebih baik khususnya dalam penggunaan bahasa Melayu, agar sekaligus dapat memartabatkan kedaulatan bahasa Melayu ini dalam kalangan mereka," ujarnya. 

 

Melalui pertandingan berkenaan, tambahnya ia diharap akan dapat meningkatkan penguasaan, pengembangan dan kemahiran berbahasa para pelajar dalam bahasa Melayu baku serta membentuk semangat daya saing yang positif agar keakraban terus tersemai. 

 

Selain itu, pertandingan itu jelasnya merupakan satu platform yang mampu melahirkan para pelajar yang mempunyai kecerdasan mental dan berupaya berfikir secara terperinci, kreatif dan kritis terhadap sesuatu isu yang dikemukakan.

 

 

 

Sumber: http://pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018/NewDisplayForm.aspx?ID=17866&ContentTypeId=0x0100A15AC32EE9717E478A9

 

 

 
 
 
 
 
 

 

Share:
Link copied to clipboard
Back