Saat yang ditunggu-tunggu !.. Sukan Badminton telah menjadi suatu aktiviti sukan yang mendapat sambutan yang baik oleh rakyat Malaysia di Brunei. Terdapat ramai rakyat Malaysia yang setiap minggu berjumpa di gelanggang-gelanggang badminton sekitar Brunei. Aktiviti ini disemarakkan lagi apabila Suruhanjaya Tinggi Malaysia memperolehi sebuah gelanggang badminton yang ditempatkan di Dewan Serbaguna pada bulan Disember 2008. Sehingga hari ini semakin ramai rakyat Malaysia telah dapat dihubungkan melalui sukan badminton ini. Beberapa siri perlawanan persahabatan dengan agensi-agensi di Brunei Darussalam telah pun diadakan seperti Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Jabatan Bomba, Jabatan Penerangan, Tentera Utara Diraja Brunei, Persatuan Guru-Guru Melayu Brunei, Istana Nurul Izzah, Persatuan Badminton Tutong dan akan menyusul pula perlawanan dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan serta Polis Diraja Brunei dan agensi-agensi lain.
Pada 31 Mac 2010, Tuan Yang Terutama Dato’ Ku Jaafar Ku Shaari, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam telah merasmikan Malaysia Badminton Club (MBC) yang bernaung di bawah Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Brunei Darussalam. Semua aktiviti badminton yang berlangsung adalah diusahakan ahli-ahli MBC. MBC juga mempunyai baju (jersi) yang berwarna hitam putih, diilhamkan oleh Dr Zahari (pensyarah di Universiti Brunei Darussalam). Tuan Yang Terutama berhasrat dengan rasminya MBC ini, maka rakyat Malaysia akan dapat mengeratkan lagi hubungan yang lebih akrab dengan rakyat di Negara Brunei Darussalam melalui aktiviti sukan dan menggalakkan amalan hidup yang sihat untuk warga Malaysia di sini.
(Source: Kelab Sukan Suruhanjaya Tinggi Malaysia, 31 Mac 2010)