PESTA SUKANEKA SEMPENA HARI KEPUTERAAN YANG DI-PERTUAN AGONG MALAYSIA
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Kira-kira 200 warga Malaysia yang menetap dan bekerja di Brunei serta keluarga mereka menyertai Pesta Sukaneka yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, hari ini.
Pesta sukan itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia bersempena dengan Sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia 2008 yang turut disertai oleh pegawai-pegawai dari suruhanjaya berkenaan.
Pelbagai acara sukan disediakan untuk mereka yang menyertai pesta itu termasuk peraduan membalut Mumia, perlumbaan membawa belon dan acara kemuncak sukan adalah sukan Tarik Kalat.
Di samping itu juga, peraduan mewarna lukisan untuk kanak-kanak turut diadakan bagi memeriahkan lagi pesta sambutan berkenaan.
Hadir untuk menyaksikan dan menyertai dalam acara sukan itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Dato Ku Jaafar Ku Shaari. Selain bertujuan memeriahkan lagi Sambutan Hari Keputeraan Baginda Yang Di-Pertuan Agong pesta itu juga dihasratkan untuk mengeratkan silaturahim di antara warga Malaysia serta anggota keluarga mereka yang menetap dan bertugas di Brunei.
Di samping acara Pesta Sukan, kejohanan badminton turut diadakan pada 1,2 dan 3 Jun yang disertai oleh pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia serta warga Malaysia dan acara kemuncak sambutan ialah Majlis Resepsi Malam yang diadakan pada 7 Jun di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
Ihsan Media Permata