PUSAT EHSAN MENERIMA KUNJUNGAN ROMBONGAN DARI MALAYSIA
BENGKURONG, Jumaat, 15 Ogos.- Serombongan 12 isteri para pegawai kanan Perkhidmatan Awam Malaysia diketuai oleh Puan Sri Wan Noorlina binti Wan Hussien isteri Ketua Setiausaha Negara Malaysia, Yang Berbahagia Tan Sri Mohd. Sidek bin Hassan petang ini membuat kunjungan ke Pusat Ehsan.
Rombongan yang diiringi oleh beberapa orang isteri pegawai-pegawai kanan Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam itu dialu-alukan oleh Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abd. Momin.
Mereka berada di negara ini selama tiga hari bersempena dengan Program Pertukaran Lawatan Pegawai-pegawai Kanan Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam dan Malaysia kali ke-10 yang mana Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah pada tahun ini.
Rombongan tersebut kemudiannya diberikan taklimat oleh Awang Haji Ahmad bin Haji Abd. Rahman, Ahli Lembaga Pemegang Amanah (Polisi, Dasar dan Perancangan) Pusat Ehsan mengenai pusat tersebut yang merupakan sebuah pertubuhan amal bukan kerajaan (NGOs.)
Menurutnya pusat itu menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan pendidikan, latihan dan pemulihan untuk insan-insan istimewa di negara ini.
Ehsan Media Permata