Mission News

ROMBONGAN PEGAWAI KANAN MALAYSIA MENDENGAR TAKLIMAT PENJAGAAN KESIHATAN

21 August 2008 1 views

ROMBONGAN PEGAWAI KANAN MALAYSIA MENDENGAR TAKLIMAT PENJAGAAN KESIHATAN

 

 

JERUDONG, Sabtu, 16 Ogos. - Negara Brunei Darussalam sekali lagi menerima kunjungan dari serombongan peserta yang menyertai Program Pertukaran Lawatan Pegawai-pegawai Kanan Perkhidmatan Awam dari Malaysia.

Delegasi yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara Malaysia, Yang Berbahagia Tan Sri Mohd. Sidek bin Hassan hari ini berpeluang mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat masing-masing, di samping mendengarkan taklimat mengenai Dasar Kesihatan Negara Brunei Darussalam.

Taklimat yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dato Paduka Awang Sarbini bin Haji Ali itu diadakan di Empire Hotel and Country Club di sini.

Dalam taklimatnya Dato Paduka antara lain berkata sistem penjagaan kesihatan di negara ini berdepan dengan cabaran untuk menseimbangkan ekspektasi awam, tanggungjawab perubatan, fiskal yang berdaya tahan, kurangnya penyertaan awam dan tanggungjawab politik.

Dato Paduka juga menyatakan beberapa pencapaian yang telah dicapai oleh Kementerian Kesihatan di mana menurut laporan Kesihatan Sedunia 2000 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi pencapaian sistem kesihatan, Negara Brunei Darussalam merupakan negara ke-2 di ASEAN dan di tempat ke-4 dalam Rantau Pasifik Barat.

Dengan adanya sesi perbincangan dan taklimat yang seumpamanya, diharap akan dapat membuahkan rumusan-rumusan serta pendapat-pendapat yang bernas, membangun dan positif.

Program pertukaran lawatan pegawai-pegawai kanan Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam dan Malaysia ini adalah kali yang ke-10 diadakan.

Program sedemikian diharap mencapai hasrat yang akan mengukuhkan persefahaman dan keakraban yang sedia ada dalam suasana muhibah dan mesra antara kedua-dua negara sahabat ini.

 

Ehsan Pelita Brunei
Share:
Link copied to clipboard
Back