Suruhanjaya Tinggi Malaysia adakan majlis solat hajat dan tahlil
(Published by Media Permata, Isnin 9 Jun 2014)
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam semalam telah mengadakan Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Tahlil sempena Hari Keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Almu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Di samping itu juga, bacaan tahlil untuk Raja Melayu yang mangkat baru-baru ini iaitu Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah yang mangkat pada 28 Mei lalu serta Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang mangkat pada 21 Mei lalu.
Almarhum Sultan Azlan Shah juga merupakan bekas Yang Dipertuan Agong Malaysia ke-9.
Majlis tersebut berlangsung di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Jalan Kebangsaan dan turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Haji Awang Sahak bin Haji Awang Salleh, pegawai-pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia serta warga Malaysia yang bermastautin di negara ini.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti bacaan surah Yasin, tahlil dan doa kesyukuran.