Mission News

TIMBALAN MENTERI DI JPM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PEGAWAI-PEGAWAI KANAN PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA

21 August 2008 1 views

TIMBALAN MENTERI DI JPM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PEGAWAI-PEGAWAI KANAN PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 16 Ogos - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Eusoff Agaki bin Haji Ismail telah menerima kunjung hormat Ketua Rombongan Pegawai-pegawai Kanan Perkhidmatan Awam Malaysia, Ketua Setiausaha Negara Malaysia (Chief Secretary to the Government), Tan Sri Mohd Sidek bin Hassan di Bangunan Sekretariat, Bandar Seri Begawan.

Rombongan pegawai-pegawai kanan Perkhidmatan Awam Malaysia berada di Negara Brunei Darussalam bagi meneruskan Program Pertukaran Lawatan Pegawai-pegawai Kanan Perkhidmatan Awam Malaysia ? Negara Brunei Darussalam Ke-10.

Lawatan ini telah berkembang dengan penglibatan yang lebih ramai dan menandakan peningkatan program lawatan tersebut sebagai satu landasan (platform) untuk terus meningkatkan hubungan persefahaman dan perkongsian maklumat di antara kedua-dua Perkhidmatan Awam.

Tahun ini Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah kepada program tahunan tersebut di mana tahun lalu program itu telah diadakan di Malaysia.

Salah satu atur cara pada tahun ini ialah menjadikan kunjungan-kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga kepada Setiausaha-setiausaha Tetap yang berkaitan sebagai satu peluang untuk mengukuhkan hubungan kerjasama, di samping memberikan peluang dan mewujudkan jaringan (networking) yang lebih luas dan padat.

Pada kunjungan ini juga, rombongan mengadakan perbincangan (colloquium) dengan rakan sejawat masing-masing yang mana diharapkan perbincangan akan dapat membuahkan rumusan-rumusan serta pendapat-pendapat yang bernas, membangun dan positif.

Para rombongan juga mendengar taklimat mengenai Dasar Kesihatan Negara Brunei Darussalam yang diadakan di sebuah hotel di Kampong Jerudong.

Manakala bagi rombongan para isteri-isteri pula mengadakan lawatan ke Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Bangunan Darulifta, Jabatan Mufti Kerajaan di Jalan Babu Raja, Bandar Seri Begawan dan seterusnya ke Projek Perumahan Kerajaan di Kampong STKRJ Lambak Kiri.

Lebih 20 orang pegawai kanan Perkhidmatan Awam Malaysia dan isteri-isteri masing-masing ikut serta dalam program tersebut yang penuh dengan acara-acara bilateral dan juga sukan yang akan mengeratkan hubungan silaturahim di peringkat individu dan juga menggalakkan semangat daya saing yang sihat.

Adalah diharapkan program pada kali ini akan mencapai hasrat dalam mengukuhkan persefahaman dan keakraban yang sedia ada dalam suasana muhibah dan mesra di antara kedua buah negara.

 

Ehsan Pelita Brunei
Share:
Link copied to clipboard
Back