Pada 21 April 2025, TYT Datuk Mohd Aini Atan telah mempersembahkan watikah pelantikan sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam kepada KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman. Pada majlis yang sama, seramai 6 orang Ketua Perwakilan Asing turut mempersembahkan watikah pelantikan mereka kepada KDYMM Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Semasa sesi menghadap KDYMM Sultan Brunei selepas penyerahan watikah tersebut, TYT Datuk Mohd Aini menyatakan komitmen untuk terus memperkukuhkan hubungan istimewa antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.
TYT Datuk Mohd Aini merafak sembah takzim dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerima menghadap.



