YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK DAN ISTERI LAWAT BRUNEI
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Julai 2008, Isnin - Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah serta rombongan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei hari ini untuk memulakan lawatan selama tiga hari.
Hadir untuk mengalu-alukan ketibaan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin, Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah ialah Menteri Kewangan II selaku Menteri Pengiring, Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim bersama Datin Hajah Sapiah Haji Sabtu dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato? Ku Jaafar Ku Shaari.
Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin dan Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah kemudian diperkenalkan kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pehin Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Halbi Haji Mohd Yussof, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pehin Dato Paduka Seri Zainuddin Jalani serta para pegawai kanan kerajaan.
Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin dan Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah kemudian dipersilakan beredar ke kenderaan yang dikhaskan dengan melintasi Kawalan Statik yang terdiri dari anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin, Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah serta rombongan berada di Brunei bagi lawatan selama tiga hari bermula hari ini hingga 9 Julai.
Semasa lawatan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin dan Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah akan mengadap ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar dan seterusnya menghadiri majlis santap di Istana Nurul Imam.
Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin dan Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah juga dijadualkan untuk mengadakan lawatan ke Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Kampung Ayer serta Menyusur Sungai Brunei.
Ihsan Media Permata