Sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2017, Malawakil Geneva telah menganjurkan sukan bowling bertempat di Bowling de La Praille, Geneva pada 14 Oktober 2017. HSN 2017 telah dimeriahkan dengan penyertaan seramai kira-kira 50 peserta yang terdiri daripada warga kerja Perutusan Tetap Malaysia ke PBB, warga kerja Perutusan Tetap Malaysia WTO serta ahli keluarga masing-masing
Acara dimulakan dengan sesi mengambil gambar kenang-kenangan dan diikuti balingan pembukaan oleh TYT Dato’ Amran Mohamed Zin, Wakil Tetap Malaysia ke PBB dan lain-lain Pertubuhan Antarabangsa di Geneva. Balingan oleh peserta pertama di lorong masing-masing kemudiannya turut menyusul.
Semua peserta berusaha menonjolkan kemahiran balingan masing-masing dengan semangat kesukanan yang baik, di dalam suasana yang mesra dan santai. Aktiviti riadah secara santai ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama warga kerja dan ahli keluarga.