MAJLIS PENGIBARAN JALUR GEMILANG
SABTU, 31 OGOS 2024
GENEVA, SWITZERLAND
Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Antarabangsa Lain di Geneva, Switzerland telah menganjurkan Majlis Pengibaran Jalur Gemilang bersempena dengan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-67 pada hari Sabtu, 31 Ogos 2024.
Majlis tersebut telah diadakan di Kediaman Rasmi Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva. Para tetamu terdiri daripada rakyat Malaysia yang menetap di Geneva, ahli-ahli Malaysian Association of Geneva (MAG) serta pegawai dan kakitangan Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke PBB dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di Geneva.
Antara intipati majlis tersebut adalah nyanyian lagu Negaraku, pengibaran Jalur Gemilang, nyanyian lagu patriotik, 31 Ogos oleh kumpulan koir anak-anak HBS, bacaan Rukun Negara. Dalam ucapan PYT Dato’ Wakil Tetap semasa majlis berkenaan, beliau telah memperkenalkan erti tema Hari Kebangsaan, ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ dan mengingatkan para tetamu akan pentingnya menjiwai erti kemerdekaan bagi mengekalkan perpaduan rakyat Malaysia walaupun jauh di perantauan.
Majlis simbolik ini juga diharapkan dapat memberikan impak yang bermakna kepada semua tetamu dalam memperkukuhkan penghayatan dalam membina identiti nasional, menyemarakkan semangat patriotik dan mengeratkan silaturahim sesama rakyat Malaysia di Geneva.





