Mission News

Penyertaan Malaysia di UNWG Bazaar, Palais des Nations, Geneva

28 November 2024 1 views

Malawakil Geneva telah menyertai UNWG Geneva International Bazaar, yang berlangsung pada 19 November 2024 di Palais des Nations, Geneva. Acara tahunan ini dianjurkan oleh UN Women Guild (UNWG) untuk meraikan kepelbagaian budaya dan gastronomi dari seluruh dunia, menarik kehadiran lebih daripada 1,500 pengunjung. Malaysia memanfaatkan platform ini untuk memperkenalkan keunikan budaya gastronomi tempatan melalui sajian ikonik seperti Nasi Lemak, Roti Canai, dan Teh Tarik, yang disediakan khas untuk komuniti antarabangsa.

Penyertaan Malaysia melibatkan pembukaan ruang pameran yang dihiasi dengan bahan promosi seperti risalah dan paparan visual yang menerangkan sejarah dan keunikan hidangan-hidangan ini. Sambutan terhadap hidangan Malaysia amat memberangsangkan, dengan pengunjung antarabangsa memuji keunikan rasa dan tradisi yang terserlah dalam penyediaan makanan. Nasi Lemak, sebagai hidangan kebangsaan, serta Roti Canai dan Teh Tarik, diiktiraf sebagai lambang identiti budaya Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian rasa dan tradisi.

Tan Sri Ketua Setiausaha Negara (KSN) turut hadir menyerikan lagi ruang pameran Malaysia di sela-sela lawatan kerja beliau ke Geneva. Beliau memuji usaha Malawakil Geneva dalam mempromosikan budaya gastronomi tempatan serta menyifatkannya sebagai langkah penting dalam meningkatkan martabat Malaysia di peringkat antarabangsa. Kehadiran beliau memberi pengiktirafan terhadap usaha Malawakil Geneva dalam memperkukuh peranan Malaysia di pentas global melalui pendekatan diplomasi budaya.

Selain mempromosikan makanan, penyertaan ini juga bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan warisan budaya. Kejayaan memperkenalkan hidangan tempatan kepada khalayak antarabangsa ini turut membantu meningkatkan kesedaran global tentang keunikan budaya Malaysia.

Penyertaan Malaysia sejajar dengan objektif UNWG Bazaar, iaitu untuk memperkenalkan keunikan budaya dan gastronomi dari pelbagai negara kepada komuniti antarabangsa. Sambutan positif terhadap hidangan Malaysia membuktikan daya tarikan gastronomi tempatan sebagai medium diplomasi budaya yang berkesan, sekaligus mempromosikan imej Malaysia di persada antarabangsa.

 

 

 

 

 

Share:
Link copied to clipboard
Back