Mission News

PRESS RELEASE FROM MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA: MPOX

11 September 2024 1 views

1
KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI TERKINI KESIAPSIAGAAN MALAYSIA MENGHADAPI MPOX CLADE 1b


Penyakit mpox telah diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Public Health Emergency of International Concern - PHEIC) buat kali kedua pada 14 Ogos 2024. Penyebaran clade IIb virus ini bermula pada 2022 dan berterusan sehingga hari ini, termasuk di beberapa negara Afrika. Terkini, penularan clade Ia dan clade Ib yang semakin meningkat telah menjejaskan Republik Demokratik Congo dan negara-negara lain di Afrika.


Peningkatan ini adalah kerana clade tersebut lebih mudah merebak. Terkini, clade Ib juga telah dikesan di luar Afrika iaitu di Sweden dan Thailand, masing-masing pada 16 Ogos dan 21 Ogos 2024 serta melibatkan sejarah perjalanan ke Afrika. Berdasarkan situasi semasa yang turut melibatkan negara-negara jiran, Malaysia juga berisiko terkesan.


Penyakit ini lazimnya merebak antara manusia melalui kontak rapat dengan individu yang dijangkiti. Jangkitan boleh berlaku melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox, atau melalui pendedahan kepada cecair respiratori seperti semasa hubungan intim.


Sebanyak 13 makmal mampu membuat ujian pengesanan mpox, iaitu 8 makmal kerajaan dan 5 makmal swasta. 2 daripadanya mampu untuk membuat ‘sequencing’ maklumat genetik untuk mengesan varian virus yang dikesan. Bagi tahun 2024 sehingga 27 Ogos 2024, sebanyak 33 kes disyaki mpox telah dilaporkan di fasiliti kesihatan yang mana 32 kes telah disahkan negatif dan satu kes lagi masih menunggu keputusan makmal.
Sejak 16 hingga 27 Ogos 2024, hampir 2.64 juta pengembara telah melalui saringan bagi gejala mpox di pintu masuk antarabangsa di mana setakat ini tiada kes yang disyaki mpox. Pengembara dari negara berisiko dinasihatkan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri dalam tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan.


Sebagai persediaan awal, KKM telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi memaklumkan peranan masing-masing dalam aktiviti kawalan dan pencegahan jangkitan mpox. Sesi secara maya juga telah diadakan bersama Kementerian Luar Negeri dan perwakilan Malaysia di negara-negara Afrika bagi menggembleng kerjasama untuk mendapatkan dan menyampaikan maklumat kepada warga Malaysia yang berada di negara-negara tersebut.


KKM juga telah membuat hebahan berkaitan mpox kepada orang ramai melalui pelbagai saluran seperti media massa dan media sosial. Kesiapsiagaan juga perlu dipertingkatkan lagi bagi menghadapi sebarang situasi jangkitan mpox. Untuk itu, KKM menyeru supaya:


1.Individu berisiko tinggi yang mengalami gejala mpox seperti demam, bengkak pada kelenjar limfa dan ruam/lepuh perlu mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan berdekatan.

2.Elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu yang disyaki atau disahkan dijangkiti mpox termasuk hubungan seksual.

 

3.Mengamalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau ‘hand sanitiser’.


Buat masa ini, pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang nasihat atau syor untuk diadakan sekatan perjalanan. Justeru, individu yang melawat negara berisiko adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan seperti mengamalkan kebersihan kendiri, mengelakkan kontak dengan individu yang bergejala atau haiwan yang sakit, segera merujuk kepada fasiliti kesihatan sekiranya bergejala, serta mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh KKM dari semasa ke semasa.


Seperti yang terbukti ketika Malaysia dan negara-negara lain berjaya mengatasi beberapa wabak sebelum ini, ancaman mpox ini juga perlu ditangani melalui pendekatan seluruh negara (whole-of-nation) dan seluruh planet (whole-of-planet), serta kawalan kesihatan kendiri yang tinggi oleh setiap individu. KKM akan meneruskan kerjasama rapat dengan pihak WHO dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi menguruskan situasi mpox.
#bersamamencegahmpox


KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
28 OGOS 2024

Share:
Link copied to clipboard
Back