Penyakit Virus Ebola (Ebola Virus Disease, EVD) adalah penyakit serius dengan kadar kematian (Case fatality rate) yang tinggi. Penyakit ini boleh menjangkiti manusia dan juga haiwan primate seperti monyet. EVD pertama kali dikesan pada tahun 1976 di Republik Demokratik Congo dan Sudan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai kejadian wabak penyakit Ebola di tiga buah Negara di Afrika Barat iaitu Sierra Leone, Liberia dan Guinea yang bermula sejak Mac 2014. Sehingga 25 Julai 2014, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sejumlah 1,201 kes EVD dari ketiga-tiga negara tersebut, meliputi 672 kematian, dengan kadar kematian 56%.
Di Afrika, jangkitan telah berlaku melalui pengendalian haiwan yang dijangkiti atau dijumpai mati di dalam hutan oleh masyarakat di situ. Apabila seseorang itu mendapat jangkitan, penularan di populasi masyarakat di kawasan terlibat adalah melalui kontak rapat dengan cecair badan (bodily fluids) orang atau haiwan yang telah dijangkiti. Sebagai contoh darah, air liur, najis dan sebagainya.
Gejala awal yang dikesan dalam kalangan kes EVD adalah demam, sakit otot, sakit kepala, sakit kerongkong, kurang tenaga dan sangat lemah. Seterusnya seseorang yang dijangkiti akan menunjukkan gejala muntah, cirit-birit, ruam, kegagalan buah pinggang dan hati. Terdapat juga kes yang menunjukkan gejala perdarahan. Sebaik sahaja menunjukkan gejala jangkitan, individu terbabit mampu menjangkiti orang lain.
Di Malaysia, EVD adalah salah satu penyakit yang perlu dinotifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (PCID) 1988. Sehingga kini, tidak terdapat notifikasi mengenai kes EVD di Malaysia. Namun begitu, KKM secara berterusan sentiasa memperkukuhkan pemantauan dan kesiapsiagaan menghadapi potensi kejadian jangkitan penyakit berjangkit termasuk EVD seperti berikut:
a) Pemakluman berkaitan EVD dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi telah dilakukan kepada anggota kesihatan di semua peringkat KKM termasuk di pintu masuk antarabangsa negara.
b) Telah memberi penekanan kepada anggota di semua peringkat KKM termasuk di pintu masuk berkaitan pengurusan kes yang disyaki dijangkiti dengan menggunakan tatacara sebagaimana yang digariskan, meliputi proses pelaporan / notifikasi melalui saluran yang telah dikenalpasti dengan kadar segera kepada pihak yang terlibat.
c) Mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi yang optimum di semua fasiliti kesihatan kerajaan termasuk terdapatnya kemudahan wad isolasi di hospital kerajaan.
d) KKM mempunyai makmal yang boleh membuat ujian bagi mengesan EVD iaitu di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
e) Memastikan stok simpanan alat perlindungan diri (PPE) di setiap negeri adalah mencukupi.
f) Peringatan kepada semua fasiliti kesihatan untuk sentiasa melaksanakan pemantauan untuk penyakit berjangkit termasuk EVD dan untuk penghantaran notifikasi ke National Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC).
Buat masa ini, pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalananan (travel advisory) atau mengeluarkan sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat. Merujuk kepada maklumat dari WHO, memaklumkan bahawa walaupun kejadian wabak ini adalah serius, namun ia boleh dikawal dengan menjalankan langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang berkesan. Walau bagaimanapun, khusus untuk orang awam yang ingin mengadakan lawatan ke mana-mana negara yang terlibat di Afrika Barat, pihak KKM ingin menasihatkan mengenai perkara-perkara berikut:
i) Mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer).
ii) Elakkan dari mendekati orang yang sakit termasuk kontak dengan cecair badan individu yang dijangkiti EVD. Juga dinasihatkan untuk elakkan dari melawat ke rumah atau fasiliti kesihatan yang terlibat dalam wabak Ebola. Begitu juga, sentiasa berwaspada dan menjaga kesihatan diri, di samping mendapatkan rawatan segera sekiranya jatuh sakit;
iii) Elakan kontak atau pengendalian haiwan liar yang sakit atau mati.
iv) Mereka yang pulang dari lawatan ke negara-negara yang terlibat, segera mendapatkan rawatan jika tidak sihat dan maklumkan mengenai sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat.
Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan dari pihak WHO akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.
Sekian dan terima kasih.
DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
31 Julai 2014