KEPULANGAN RAKYAT MALAYSIA KE TANAH AIR
KEPULANGAN RAKYAT MALAYSIA KE TANAH AIR
1. Bersyukur ke hadrat Ilahi, kita semua dapat berkumpul pada hari yang bermakna ini, bagi menyambut kepulangan ke tanah air rakyat Malaysia dari Sudan.
2. Saya amat gembira melihat tuan-tuan dan puan-puan yang berada dalam keadaan sihat dan selamat. Jelas terpancar keceriaan di wajah semua. Akhirnya, setelah beberapa hari berada dalam suasana yang amat getir, sejak 15 April yang lalu, kini saudara saudari telah menjejak kaki di tanah air dengan selamat.
3. Percayalah, kegembiraan yang dapat kita lihat sendiri rasai di sini turut juga dirasai oleh semua rakyat Malaysia.
4. Penerbangan Saudia SV834 pada hari ini telah membawa pulang seramai 30 orang rakyat Malaysia, 1 rakyat Filipina, 1 rakyat Thailand dan 1 rakyat Palestin.
5. Dalam sesi mengadap YDP Agong semalam, saya telah sembah maklum perkembangan terkini mengenai status operasi Ops Sudan. Tuanku menzahirkan sukacita Baginda atas kejayaan membawa balik saudara saudari semua dengan selamat.
6. Saya juga ingin menyampaikan salam dan maaf daripada YAB Perdana Menteri kepada tuan puan kerana beliau tidak dapat bersama-sama kita pada hari ini kerana komitmen tugas di luar kawasan. YAB Dato’ Seri berharap agar kesemua yang baru kembali dari Sudan untuk dapat berehat, menenangkan diri serta bersama dengan keluarga yang tersayang dan meraikan kemeriahan Syawal.
7. Sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak, Kerajaan Arab Saudi, UAE, kepimpinan Sudan dan juga kepada Pasukan Khas Ops Sudan diketuai Kementerian Luar Negeri dan dibantu agensi-agensi Kerajaan yang lain, PETRONAS, dan kesemua pegawai di perwakilanperwakilan yang terlibat atas komitmen yang amat tinggi dan jitu, bekerja tanpa henti 24 jam tatkala kita semua menyambut hari lebaran. Tujuan hanya satu iaitu memastikan usaha membawa balik 30 rakyat Malaysia dan 26 warganegara lain dari Sudan dilaksanakan dengan segera dan selamat.
8. Usaha dan pengorbanan kesemua mereka jelas membuktikan keupayaan pegawai-pegawai kita dalam menggalas amanah, merancang strategi demi mengutamakan kepentingan dan keselamatan rakyat Malaysia walaupun berdepan risiko dan ancaman.
Dr. Zambry Abd Kadir
MENTERI LUAR NEGERI
28 April 2023