MALAYSIA ANJUR MESYUARAT KHAS TERGEMPAR MENTERI-MENTERI LUAR ASEAN BERIKUTAN GEMPA BUMI DI MYANMAR DAN THAILAND
MALAYSIA ANJUR MESYUARAT KHAS TERGEMPAR MENTERI-MENTERI LUAR ASEAN BERIKUTAN GEMPA BUMI DI MYANMAR DAN THAILAND
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, telah menganjurkan Mesyuarat Khas Tergempar Menteri-Menteri Luar ASEAN berikutan gempa bumi di Myanmar dan Thailand secara persidangan video pada hari Ahad, 30 Mac 2025. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan. Mesyuarat ini juga dihadiri oleh Menteri-Menteri Luar ASEAN atau wakil mereka serta Menteri Luar Negeri Timor-Leste sebagai Pemerhati. Turut bersama ialah TYT Dr. Kao Kim Hourn, Setiausaha Agung ASEAN, dan TYT Krishna Putra Tanaja, Timbalan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre), yang telah membentangkan perkembangan terkini mengenai usaha ASEAN dan situasi terkini di Myanmar.
Mesyuarat ini mencerminkan semangat kesatuan dan solidariti ASEAN. Menteri-Menteri Luar ASEAN merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada negara Myanmar dan Thailand, khususnya kepada para mangsa, keluarga mereka, serta semua yang terjejas akibat tragedi tersebut. Mereka turut mengulangi sokongan dan solidariti yang teguh kepada Myanmar dan Thailand, dan menekankan bahawa Keluarga ASEAN berdiri teguh bersama kedua-dua negara tersebut dalam usaha menangani kesan gempa bumi ini. Myanmar dan Thailand turut merakamkan penghargaan yang tinggi kepada Negara-Negara Anggota atas solidariti dan keprihatinan yang dizahirkan serta bantuan pantas yang disalurkan untuk operasi mencari dan menyelamat.
Menteri-Menteri Luar ASEAN bersetuju untuk terus menggerakkan bantuan kemanusiaan yang akan diselaraskan oleh AHA Centre, dengan makluman berkala daripada Setiausaha Agung ASEAN. Mereka turut bersetuju bahawa tragedi ini memperlihatkan keperluan mendesak bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan ketahanan bencana di peringkat serantau. Sehubungan itu, mereka mengulangi komitmen untuk memperkukuh mekanisme tindak balas bencana ASEAN.
Dalam ucapan pembukaannya, YB Menteri Luar Negeri merakamkan ucapan takziah yang mendalam dan mengulangi komitmen bersama ASEAN untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada kedua-dua negara yang terjejas. Beliau turut menegaskan kesiapsiagaan Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ERAT) untuk digerakkan segera, selaras dengan pemantauan berterusan terhadap keadaan semasa dan keperluan operasi bantuan.
Komitmen Malaysia untuk membantu turut dizahirkan melalui mobilisasi segera sumber negara. Pada pagi ini, dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah berlepas ke Naypyidaw membawa 50 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta peralatan penting untuk menyokong operasi mencari dan menyelamat. Penghantaran ini diketuai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dengan sokongan Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Yangon.
Bagi memperkukuh lagi sokongan Malaysia, YB Menteri Luar Negeri akan melaksanakan misi kemanusiaan ke Myanmar dalam masa terdekat. Lawatan ini bertujuan untuk menzahirkan keprihatinan dan solidariti Malaysia kepada rakyat Myanmar, serta menyelaras bantuan tambahan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mengulangi kepentingan tindakan segera, inklusif dan diselaraskan secara menyeluruh dalam memenuhi keperluan mendesak semua pihak yang terjejas. Malaysia turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan yang dizahirkan oleh rakan-rakan luar ASEAN dan masyarakat antarabangsa, serta mengalu-alukan penyaluran bantuan kemanusiaan melalui Pusat AHA bagi memastikan penyelarasan dan penyampaian bantuan yang lebih berkesan.
Dalam mesyuarat ini juga, Malaysia menggesa semua pihak agar menghentikan segala bentuk permusuhan dan keganasan bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan selamat, tanpa halangan, serta demi keselamatan para petugas kemanusiaan. Seruan ini turut disokong oleh Menteri-Menteri Luar ASEAN yang lain.
Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Negara-Negara Anggota ASEAN serta rakan-rakan serantau dan antarabangsa untuk menyalurkan sokongan yang menyeluruh kepada Myanmar dan Thailand, selaras dengan keutamaan yang dikenal pasti oleh kedua-dua negara.
Tragedi ini bukan sahaja detik duka bersama, tetapi juga detik tekad bersama. ASEAN kekal bersatu, dan Malaysia menegaskan komitmen teguhnya terhadap solidariti, kerjasama serantau dan usaha kemanusiaan dalam menghadapi dugaan ini.
PUTRAJAYA
30 Mac 2025