Mission News

1Malaysia terbang ke Zagreb Oleh Rohana Mustaffa

03 December 2009 1 views
Persembahan tarian tradisional pelbagai kaum antara elemen penting dalam mempromosi Malaysia di mata dunia. - Gambar hiasan
 
1Malaysia melalui promosi khas makanan dan kebudayaan Malaysia yang diadakan di ibu negaranya, Zagreb.
 
Gagasan yang diamanatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dipilih sebagai tema untuk pesta makanan dan kebudayaan itu anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Zagreb bagi menunjukkan bahawa masyarakat berbilang bangsa di Malaysia bersatu melalui pemahaman mengenai budaya masing-masing.
 
Acara ini, yang dinamakan 1Malaysia Festival 2009, Zagreb, diadakan dari 9 hingga 15 November, di Restoran Fountain, Hotel Sheraton Zagreb.
 
Ia mempamerkan pelbagai hidangan makanan Malaysia, pertunjukan fesyen batik, demonstrasi lukisan batik dan tarian tradisional berwarna-warni pelbagai kaum di Malaysia.
Menurut kenyataan Kedutaan Besar Malaysia di Zagreb, persembahan tarian tradisional pelbagai kaum Malaysia ini turut menerima sambutan meriah apabila diadakan dalam satu pertunjukan kebudayaan di Avenue Mall, sebuah kompleks membeli belah terkemuka di Zagreb, 13 November lepas.
 
Demonstrasi lukisan batik di samping pertunjukan menyediakan teh tarik yang unik dan dinamik, turut mempersona para pengunjung yang kemudian berpeluang merasa sajian teh tarik itu.
 
Beberapa nama terkenal Malaysia, pengacara majlis Datuk Mahadzir Lokman, pereka batik Kartini Illias dan dua orang tukang masak berkaliber serta kumpulan kebudayaan Malaysia Sri Bulan diterbangkan khas ke ke Zagreb khusus untuk pesta ini demi memastikan bahawa setiap yang dipersembahkan setulen mungkin wajah Malaysia.
 
KALI PERTAMA
Menurut kedutaan itu, ini kali pertama acara untuk mendedahkan kebudayaan Malaysia kepada rakyat Croatia sebesar ini diadakan di Zagreb.
 
Dari hari pertama, pesta itu mendapat perhatian luas dan positif daripada media massa dan berjaya mengajak dan menarik minat kalangan rakyat tempatan Croatia untuk berkunjung ke pesta itu selain mengumpulkan ramai warga Malaysia di negara berkenaan.
 
Duta Besar Malaysia ke Republik Croatia, Aminahtun Karim Shaharudin telah ditemu ramah rangkaian televisyen dan stesen radio terkemuka Crotia -- Nova TV dan Otvoreni TV, Narodni Radio, Radio Slijeme dan Lembaga Pelancongan Zagreb -- mengenai penganjuran Pesta 1Malaysia itu.
 
Kartini dan kumpulan kebudayaan Sri Bulan pula menjadi tetamu dalam acara 'Dobro Jutro, Hrvatska ataupun 'Selamat Pagi Croatia', manakala beberapa majalah dan khabar tempatan Croatia juga membuat liputan meluas mengenai pesta berkenaan.
 
PUJIAN PRESIDEN
Pesta 1Malaysia ini bukan sahaja mendapat sambutan hangat pengunjung, malah menerima pujian Presiden Republik Croatia, Stjepan Mesic.
Beliau menyatakan sokongan kepada usaha Kedutaan Besar Malaysia untuk membawa Malaysia lebih dekat kepada rakyat Croatia.
 
"Saya masih ingat lawatan saya ke Malaysia beberapa tahun dahulu.
 
"Semua yang saya perhatikan dan dengar amat saya kagumi dan saya percaya Malaysia seharusnya di antara negara rakan utama Croatia di Asia Tenggara," Presiden Mesic dipetik berkata demikian.
 
Di dalam ucapan beliau, Presiden Croatia itu mengulangi bahawa Croatia merupakan sebuah negara Eropah dan keanggotaan dalam Kesatuan Eropah tetap menjadi keutamaan dalam dasar hubungan antarabangsa negara ini.
 
"Bagaimanapun, bukan kesemua dasar itu ditumpukan untuk mencapai keanggotaan itu. Sudah tentu kami mencari hubungan baik dengan kesemua pihak yang ingin mengadakan hubungan baik dengan kami, tidak kira di mana mereka berada di dunia ini. Malaysia tidak terkecuali dalam perkara ini," katanya.
 
TERIMA KASIH DARI MALAYSIA
Aminahtun bagi pihak Kedutaan Besar Malaysia, amat menghargai sokongan yang diberikan Croatia dan menyifatkan kerjasama kedua-dua negara dalam hal ini ialah petunjuk baik bagi hubungan Malaysia-Croatia.
 
Rasional utama usaha mengadakan pesta ini ialah untuk merapatkan rakyat Malaysia dan Croatia serta bagi mengukuhkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara, katanya.
Seorang rakyat Croatia, Zrinka Skarica berpeluang sempena Pesta 1Malaysia itu, berbicara mengenai buku tulisannya bertajuk Malaysia - My Unforgettable Story, hasil pengalamannya ketika menetap di Malaysia. - BERNAMA (02 Disember 2009)
 

Presiden dan Mrs. Mesic bergambar dengan Kumpulan Sri Bulan yang telah mempersembahkan berbagai tarian kebudayaan berbilang kaum Malaysia

 
Share:
Link copied to clipboard
Back