Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Medan (PKPMI-CM) telah menganjurkan Festival Budaya dan Kuliner Malaysia-Indonesia di Perkarangan Letak Kereta, Fakulti Perubatan, Universiti Sumatera Utara Medan pada hari Ahad, 18 Mei 2014.
Majlis penuh warna-warni ini telah dirasmikan oleh tetamu kehormat Bapak Haji Tengku Erry Nuradi, Timbalan Gabenor Sumatera Utara. Pelbagai acara budaya termasuk tarian asli Malaysia dan Indonesia; silat; dikir barat; nasyid dan pertandingan karaoke lagu-lagu tradisional telah dipersembahkan. Demonstrasi canting batik dan pameran lukisan turut diadakan.
Gerai jualan makanan masakan Malaysia dan Indonesia yang disertai oleh PERWAKILAN Medan; Kelab Sukan Kebajikan Rekreasi dan Sosial, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan; persatuan-persatuan pelajar Malaysia dan Indonesia dan Amaliun Foodcourt mendapat sambutan daripada tetamu yang hadir.
Selain gandingan di antara Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dan PKPMI-CM, Tourism Malaysia, Firefly dan Malaysia Airlines turut menyumbang dalam menjayakan acara ini.
Festival ini ditutup dengan nyanyian beramai-ramai sebuah lagu khas bertajuk “Persaudaraan” yang dicipta oleh Dr Junita Batubara, pensyarah muzik dari Universiti HKBP Nommensen, Medan.